Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Ishak Ismail berkata, dalam tempoh tersebut pihaknya turut menjangkakan untuk melahirkan kira-kira 2,000 usahawan baharu termasuk usahawan tani.

Katanya, BPR yang digerakkan dengan kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu merupakan pendekatan alternatif buat usahawan tani dalam memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna sekali gus berpeluang menambah pendapatan di samping mengurangkan peningkatan kos sara hidup.

"Sejak diperkenalkan pada Februari lalu, BPR sudah dilaksanakan di enam lokasi iaitu Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dengan yang terbaharu pada hari ini di Terengganu.

"Bagi lokasi-lokasi tersebut, BPR kini menjadi program bulanan dan sekiranya sambutan terus menggalakkan ia mungkin akan dibuat dua minggu sekali di samping sasaran untuk diperluaskan ke peringkat DUN," katanya dalam sidang akhbar selepas program BPR di Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI) di Manir di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi LPP, Datuk Mazlan Aliman dan Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil.

Program BPR terbukti dapat meningkatkan pendapatan usahawan tani sehingga ke 50 peratus manakala pengguna pula dapat menikmati harga murah antara lima hingga 30 peratus.

Dalam perkembangan sama, Ishak memberitahu, BPR turut menyediakan inisiatif 'My Food for Ummah' yang merupakan program lanjutan untuk berkongsi rezeki dengan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Katanya, satu kaunter khas disediakan bagi membolehkan usahawan tani dan orang ramai menyumbangkan sedikit barangan jualan serta belian mereka untuk diagihkan kepada 50 penerima yang terpilih.

"Setakat ini seramai 300 penerima B40 di enam lokasi telah menerima manfaat My Food for Ummah dan kita harap usaha ini dapat membudayakan sikap dermawan dalam kalangan pengunjung," katanya. - UTUSAN ONLINE