Itu pepatah yang sesuai bagi menggambarkan kegigihan seorang gadis muda dalam membina sebuah empayar perniagaan pusat kecantikan yang kini mempunyai 19 buah cawangan di seluruh Malaysia.

 

Gadis cantik persis model, Nor Sahidah Mohammad, 28, tidak kekok berkongsi pengalaman selok-belok dunia pemasaran bagi membantu melebarkan sayap perniagaan.

Pemasaran seperti yang kita tahu memerlukan perancangan dan strategi yang teliti dalam usaha merancakkan sesebuah perniagaan  dalam bidang yang diterokai.

Nor Sahidah atau lebih mesra disapa Shida kini mengorak langkah ke hadapan dengan pantas dan cemerlang apabila dilantik jawatan sebagai pengarah pemasaran di sebuah spa kecantikan, MBH Medispa yang diusahakan sejak 10 tahun lalu.

Gadis yang belum menginjak usia 30-an ini berjaya memecahkan persepsi masyarakat bahawa usia muda tidak mampu menyandang jawatan tinggi dalam syarikat. 

Memikul tanggungjawab sebagai salah seorang pengarah di syarikat Moha Group Sdn. Bhd., Shida yakin bekerja keras dan berusaha tanpa jemu menjadi kunci kejayaan kepada kerjayanya kini.

Meskipun tidak mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang perniagaan, namun Shida yang merupakan graduan Diploma Kesetiausahaan, Politeknik Port Dickson berjaya membuktikan bahawa sesiapa sahaja boleh meraih kejayaan dengan usaha yang gigih.

Menurutnya, perniagaan yang bermula dari angka kosong itu kini mula menapak ke seluruh negara dan semakin mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Tak perlu malu untuk berniaga dan tak perlu malu untuk mula dari bawah  kerana perniagaan adalah pekerjaan yang paling mulia. Malah, Rasulullah sendiri turut terlibat dalam bidang perniagaan.

“Kita perlu berani mengambil risiko dan mencuba perkara baharu kerana tiada perkara datang dengan mudah tanpa sebarang usaha, ‘try and error’ belajar dari kesilapan,” katanya kepada Mega Rona.

Mengulas lanjut, gadis kelahiran Kajang, Selangor ini memberitahu memiliki minat yang sangat mendalam dalam bidang perniagaan. Minat itu katanya menjadikannya seronok bekerja sekali gus membuatkan apa sahaja yang dilakukan dirasakan amat mudah. Ini termasuk mendapatkan idea daripada pelbagai sumber bagi mengembangkan perniagaan.

“Seperti kita tahu dalam sesuatu perniagaan perlu bijak merancang strategi dan berani mengambil risiko untuk merangka perjalanan perniagaan kita pada masa depan.

“Bagi saya pengalaman dalam bidang perniagaan sebenarnya paling penting untuk mengatur selok-belok perniagaan di samping belajar daripada individu yang lebih mahir selain melakukan kajian menerusi teknologi sedia ada,” katanya.

Tambahnya, bidang pemasaran juga banyak mengajar beliau tentang cara berfikir, menyusun strategi kempen, cara mengurus operasi, kewangan, staf dan bagaimana untuk memastikan pulangan yang terbaik dapat diraih menerusi setiap pelaburan. 

Di sebalik kejayaan itu katanya, beliau pernah mengalami kisah hitam dalam dunia perniagaan apabila ditipu oleh orang yang paling dipercayainya iaitu individu terbabit melakukan penyelewengan wang syarikat.

“Ketika itu saya memilih untuk tidak bercerita kepada sesiapa dan tidak mahu mengaibkannya. Saya banyak berdoa kepada Allah dan meminta petunjuk-Nya. Saya memaafkannya kerana bagi saya, itu adalah jalan yang terbaik,” katanya.

Transformasi minat kepada perniagaan

Figura cantik tinggi lampai ini turut mempunyai minat dalam bidang kecantikan dari penjagaan rambut hingga ke hujung kaki.

Nor Sahidah mula menceburkan diri  dalam bidang perniagaan pada 2009 dengan membantu kakaknya berniaga secara dalam talian iaitu menjual produk kecantikan menerusi laman sosial.

Menurutnya, perniagaan yang dimulakan secara kecil-kecilan itu pada mulanya tidak mempunyai sebarang aset. Namun katanya,  lama-kelamaan perniagaan yang diusahakan bersama keluarga berjaya meraih keuntungan sekali gus membentuk  syarikat perniagaan yang kukuh seperti hari ini.

“Untuk membina nama  dalam  perniagaan bukanlah mudah. Namun, sekiranya kita minat terhadap sesuatu perkara dan berusaha bersungguh-sungguh, insya-Allah segala halangan dapat diatasi.

“Perlu diingat, setiap perniagaan ada risikonya. Justeru, kita perlu cekal mengharungi cabaran bagi membina sebuah perniagaan yang berjaya,” ujarnya.

Tambahnya, bagi mereka yang baharu sahaja ingin berjinak-jinak dalam dunia perniagaan, mereka harus bermula dengan apa yang ada dan tidak semestinya dengan modal yang banyak.

“Saya bermula dengan platform media sosial sahaja semasa mula-mula terlibat dalam bisnes pusat kecantikan ini. Dari situ saya dapat melihat betapa pentingnya kita merebut peluang daripada kecanggihan teknologi masa kini.

“Selain memanfaatkan teknologi yang ada, mereka yang ingin menceburkan diri dalam dunia keusahawanan juga boleh fokus pada bidang yang mereka minati dan menukarnya kepada satu peluang untuk perniagaan,” katanya.

Belajar jadi pemimpin berwibawa

 

“Kalau kita nak berputus asa, fikir dahulu berapa mulut yang perlu disuap, bukan sahaja staf, isteri, malah anak-anak mereka.”

Itulah kata-kata yang menjadi penguat semangat kepada Nor Sahidah selaku pengarah pemasaran syarikat MBH Medispa dalam mengharungi pahit getir menceburi dunia perniagaan.

Menurutnya, selain mengendalikan perniagaan, beliau turut menguruskan pekerja seramai 80 orang di semua cawangan  seluruh negara.

“Untuk menjadi seorang pemimpin, kita tidak boleh terlalu menekan, sebaliknya perlu mendidik secara baik dan memberi peluang kepada mereka untuk turut aktif mengendalikan perniagaan.

“Bagi diri saya, setiap orang ialah modal insan yang tersendiri dan kita perlu belajar daripada mereka,” katanya.

Tambahnya, pengalaman dan kesusahan untuk mencari wang turut mengajarnya supaya lebih bersyukur dan berkongsi rezeki yang dimiliki dengan orang yang memerlukan.

“Saya tekad membantu lebih ramai staf untuk maju dalam kehidupan mereka.

“Ini kerana saya pernah berada di ‘puncak’ dan pernah menikmati nilai ringgit yang banyak, namun pada satu saat saya mengalami kesusahan apabila nilai ringgit yang saya pegang ketika
itu merosot dengan pantas,” katanya berkias.