Jejaka berusia 25 itu yang lebih dikenali sebagai Edin Hamdi berkata, Amboi Dot Com Resources yang diasaskannya sejak Ogos 2017 itu mempunyai seramai lapan pekerja dengan kepakaran dalam bidang tertentu seperti reka bentuk, penulisan skrip dan suntingan video.

Menurutnya, walaupun syarikatnya baru beroperasi sejak dua tahun lalu, namun, alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berjaya membuktikan kemampuan tersendiri apabila video-video iklan yang dihasilkan mencecah ratusan ribu dan jutaan penonton dalam media sosial.

“Antaranya kami pernah menghasilkan video bertajuk ‘Kod Lelaki’ yang mencecah enam juta tontonan dalam Facebook, ‘Member Kaki Sembang’ (2.1 juta) dan iklan raya paling sedih 2019, ‘Jasa’ (1.1 juta) yang dilakonkan oleh watak utama, Ebby Yus. Malah, video-video tersebut turut mendapat perhatian sehingga dikongsikan oleh pelbagai laman media sosial.

“Baru-baru ini juga kita sudah keluarkan video khas untuk Utusan Malaysia bertajuk, Utusan Cinta berdurasi sembilan minit yang sudah mendapat 65,000 tontonan dalam masa sebulan. Antara klip yang kita paparkan adalah watak individu memakai baju Utusan 80 tahun sebagai mesej kepada penonton,” katanya ketika ditemu ramah Utusan Online di sini hari ini.

Syarikat Amboi Dot Com Resources menyediakan lapan jenis perkhidmatan seperti pembangunan laman web, pengurusan media sosial, pengurusan acara dan penghasilan video korporat.

Jelas Edin Hamdi, kebanyakan kliennya terdiri daripada syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) dan pihaknya menawarkan harga pakej video mampu milik kepada pelanggan.

Dalam pada itu, anak muda berasal dari Hulu Langat itu menanam impian dan cita-cita besar untuk menghasilkan tele filem pada masa akan datang.

Ujarnya, tiada apa yang mustahil untuk dilakukan sekiranya mempunyai keazaman tinggi dan tidak mudah berputus asa dalam perniagaan.

“Kami memang berhasrat nak menjadi sebuah syarikat produksi yang khusus kepada penghasilan video dan kita akan cuba fokus serta bersedia ke arah tersebut.

“Inshaa Allah kalau ada rezeki pada tahun hadapan kita akan cuba masuk ke tele filem. Baru-baru ini juga kita sudah bekerjasama dengan sebuah syarikat rakaman yang mempunyai kepakaran menghasilkan lagu yang mendapat tempat dalam pasaran,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE