Pengarah Pembangunan Korporat Weststar, Datuk Zaiton Johari berkata, projek perumahan yang merangkumi 1,504 unit itu siap pada April lalu dan telah mematuhi Sijil Perakuan Siap Dan Pematuhan (CCC) yang ditetapkan pihak oleh bertanggungjawab.

Beliau berkata, penduduk juga telah dimaklumkan mengenai tempoh tanggungan kecacatan bagi setiap kediaman mereka adalah selama dua tahun yang akan tamat pada pertengahan 2020 dan sehingga kini semua aduan telah diselenggara mengikut jadual. 

"Kenyataan segelintir pembeli itu adalah berniat untuk menjatuhkan reputasi syarikat dan kami menafikan sekeras-kerasnya setiap dakwaan tersebut. Dakwaan mereka boleh menyebabkan pelanggan hilang kepercayaan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.

"Rasa tidak puas hati itu datang daripada segelintir pembeli sahaja, kami juga tidak mengetahui apa motif sebenar mereka sehingga bertindak sedemikian. Kami juga terbuka untuk membuat perbincangan dengan pembeli," katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Pada 20 Disember lalu, akhbar Utusan Malaysia melaporkan dakwaan pemilik PPA1M Pudina yang merasakan ‘tertipu’ selepas menerima kunci pada Jun lalu apabila kediaman yang diserahkan oleh pemaju tidak sempurna kerana terdapat pelbagai kerosakan dan gagal dibaiki.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk PPA1M Pudina, Azhar Hassan berkata, antara masalah dihadapi termasuk kerosakan lif, bumbung kediaman bocor, alat pencegahan kebakaran tidak berfungsi serta keselamatan bangunan diragui.

Menurut Zaiton, selain kediaman lapan blok, pihaknya juga menyediakan surau, dewan serbaguna, dua gelanggang futsal; tapak tadika; tapak taska; ruang niaga; taman permainan kanak-kanak dan 1,658 petak parkir kenderaan untuk penduduk dan juga pelawat.

Dalam pada itu, Zaiton turut menafikan pihaknya telah menyaman pemilik PPA1M Pudina sebaliknya, Weststar hanya meminta pemilik memberi penjelasan secara bertulis terhadap segala dakwaan yang dibuat oleh mereka termasuk di laman sosial Facebook.

"Syarikat telah meminta mereka memberi penjelasan namun, mereka gagal berbuat demikian. Syarikat tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang dan pada sama kita juga terbuka untuk berbincang dengan pembeli atas rasa tidak puas hati mereka," katanya. - UTUSAN ONLINE