Pengarah Urusan Kumpulannya, Wan Azman Wan Kamal berkata, berdasarkan Ranca­ngan Malaysia Ke-11, sebanyak 200,000 unit rumah mampu milik akan dibina menjelang 2020.

Katanya, buat masa ini, Gagasan Nadi Cergas akan menumpukan terutamanya projek perumahan mampu milik, namun tidak menolak kemungkinan menyertai tender kerajaan lain seperti hospital dan kem tentera sekiranya ada.

Tambah beliau, kumpulan yakin perumahan mampu milik akan kekal kukuh bagi tahun-tahun akan datang dan pihaknya berusaha mendapatkan beberapa projek berkaitan pada masa depan.

“Kami akan memilih dalam mendapatkan kerja-kerja swasta malah meneliti pembayaran syarikat atau rekod prestasi terlebih dahulu sebelum menyertai kerja berkenaan.

“Bagaimanapun, kami akan mengutamakan projek syarikat berkaitan kerajaan berban­ding swasta disebabkan jaminan pembayaran,” katanya selepas penyenaraian syarikat itu buat kali pertama di Pasaran Ace Bursa Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Gagasan Nadi Cergas, Muhamad Fuad Abdullah.

Penyedia perkhidmatan pe­ng­urusan kemudahan dan pembinaan itu merekodkan prestasi menggalakkan di Pasaran Ace hari ini apabila mencecah 39 sen sesaham, meningkat sembilan sen atau 30 peratus daripada harga terbitan 30 sen.

Ia juga mengalami kadar terlebih langgan 20.2 kali semasa proses pengundian dan me­nyaksikan 8.95 juta saham bertukar tangan semasa pasaran dibuka.

Semalam, syarikat itu meng­umumkan ia memperoleh kontrak bernilai RM109.99 juta untuk membina pembangunan perumahan awam di Putrajaya.

Wan Azman memaklumkan nilai perolehan kontrak syarikat berjumlah lebih RM700 juta dijangka berkekalan sehingga 2022.

“Syarikat mempunyai tanah kediaman seluas 46.94 hektar di Ulu Yam dan 0.2 hektar tanah komersial di Chow Kit,” katanya.