Perolehan kumpulan bagi tempoh tersebut juga meningkat 25 peratus kepada RM61.6 bilion berbanding RM49.1 bilion pada 2016 didorong oleh purata harga yang lebih tinggi dalam semua produk, kesan kadar tukaran a­sing dan jualan gas diproses yang tinggi, dengan sebahagian besarnya dapat mengimbangi harga minyak mentah yang rendah dan jualan produk petroleum.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin (gambar) berkata, inisiatif transformasi yang dilaksanakan Petronas menjadi antara pemacu utama kepada prestasi yang kukuh pada suku pertama tahun ini.

“Ini diperkuatkan lagi dengan kerjasama dalaman merentasi perniagaan huluan dan hiliran yang mampu memberi hasil yang lebih baik dari segi kadar penggunaan loji, pengeluaran dan pembentukan keseluruhan yang bernilai tinggi.

“Untuk itu, kami akan terus memberi fokus untuk memacu perniagaan huluan dan hiliran supaya dapat memaksimumkan pulangan dan memberi nilai kepada kami sebagai syarikat minyak dan gas bersepadu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2017, keuntungan sebelum cukai, faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) Petronas meningkat 58 peratus kepada RM24.6 bilion berbanding RM15.6 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Aliran tunai kumpulan daripada operasi juga berkembang 86 peratus berbanding tahun lalu kepada RM18 bilion disebabkan purata aliran harga yang lebih tinggi.

Usaha kumpulan untuk me­ngurangkan kos dan meningkatkan kecekapan secara berterusan membolehkan Petronas me­ngu­rangkan perbelanjaan operasi (opex) daripada RM11.4 bilion kepada RM11.1 bilion.

Namun, jumlah aset menurun kepada RM602.1 bilion setakat 31 Mac 2017 daripada RM603.3 bilion yang direkodkan pada 31 Di­sember 2016, disebabkan ringgit yang lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Ekuiti pemegang saham pula meningkat kepada RM386.9 bi­lion setakat 31 Mac 2017 daripada RM380.3 bilion pada 31 Disember 2016, disumbangkan oleh keuntungan yang dijana pada tempoh berkenaan.

Bagi suku itu juga, nisbah gea­ran berkurangan kepada 17.1 peratus berbanding 17.4 peratus pada 31 Disember 2016 dengan sebahagian besarnya adalah kesan daripada ekuiti lebih tinggi berikutan keuntungan yang dijana.

Pulangan ke atas purata modal yang digunakan (ROACE) turut meningkat 6.6 peratus berban­ding 5.3 peratus yang direkodkan pada 31 Disember 2016 sejajar dengan keuntungan tinggi yang direkodkan kumpulan.

Dalam tempoh tersebut juga, Petronas merekodkan pelaburan modal berjumlah RM11.9 bilion terutama untuk projek Pemba­ngunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.

Bagi aktiviti huluan, kecekap­an keseluruhan peralatan (OEE) bagi Kompleks Gas Asli Cecair Petronas pada suku pertama 2017 ialah 96.2 peratus manakala jumlah jualan gas asli cecair (LNG) lebih tinggi 150,000 tan metrik berbanding tahun sebelumnya disumbangkan menerusi Gladstone LNG (GLNG) dan Train 9 di Bintulu, Sarawak.