Syarikat itu turut mencatat perolehan sebanyak RM419.25 juta berbanding RM287.74 juta pada suku sebelumnya, kata syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata 93 peratus daripada perolehan itu disumbang oleh pembangunan hartanah iaitu peningkatan sebanyak 59 peratus berbanding suku sama, tahun lepas.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 57 peratus disumbang oleh projek-projek antarabangsa diikuti 22 peratus dari wilayah selatan manakala wilayah tengah sebanyak 21 peratus.

Penyumbang terbesar adalah projek Conservatory di Melbourne diikuti Symphony Hills di Cyberjaya dan Sefina Residences di Mont’Kiara yang mencatat jumlah jualan belum direkodkan sebanyak RM4.1 bilion setakat 31 Mac, katanya.

Anwar Syahrin berkata setakat ini syarikat itu telah melancarkan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM160 juta.

Mengulas projek baharu, beliau berkata pemaju hartanah itu akan melancarkan Eugenia 2 di Serene Heights, Bangi pada Jun serta beberapa projek lain pada separuh kedua tahun ini.

“Kami berhasrat melancarkan produk-produk pasaran pertengahan sama di Iskandar Puteri serta wilayah tengah, termasuk pembangunan di Kepong menjelang akhir tahun ini.

“Selain itu, kami turut menjangkakan untuk melancarkan pembangunan komersial baharu di Gerbang Nusajaya,” katanya.

Menurut Anwar Syahrin, UEM Sunrise juga berpendirian untuk lebih berhati-hati terhadap persekitaran pasaran yang mencabar namun kekal pragmatik terhadap sasaran GDV sebanyak RM1.2 bilion yang ditetapkan syarikat itu.

“Pelancaran (projek) tambahan akan bergantung kepada keadaan dan permintaan pasaran. Kami juga akan kekal berhemat terhadap sasaran jualan sebanyak RM1.2 bilion,” katanya. - BERNAMA