Bagaimanapun, hasil meningkat 1.8 peratus kepada RM12.48 bilion daripada RM12.25 bilion.

Bagi suku keempat, syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM127.86 juta daripada kerugian bersih RM59.41 juta.

Ia mencatatkan hasil lebih tinggi berjumlah RM3.47 bilion daripada RM2.98 bilion, berikutan hasil lebih tinggi sebanyak RM7.36 bilion disumbang oleh syarikat automotif terutamanya jualan Proton X70 (X70).

Proton menerima 30,000 tempahan dan menyerahkan sebanyak 14,000 unit X70, katanya dalam kenyataan hari ini.

Sektor perkhidmatan kumpulan itu juga mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM4.58 bilion walaupun tekanan dihadapi perkhidmatan Pos Malaysia Bhd.

Sebaliknya, keuntungan bersih sektor hartanahnya lebih rendah pada RM540 juta disebabkan oleh hasil lebih kecil daripada projek pembinaan yang sedang berjalan.

“Kumpulan itu mencatatkan keuntungan operasi penuhnya tahun ini, kali pertama dicapai dalam tempoh tiga tahun. Dalam pada itu, keuntungan operasi berjumlah RM342 juta daripada kerugian RM817 juta tahun sebelumnya,” katanya.

Bagi tahun kewangan 2020, DRB-Hicom menjangkakan pengguna kembali yakin terhadap Proton dengan disokong peningkatan kualiti yang diteruskan dengan pelancaran model baharu Iriz, Persona dan Exora baru-baru ini.

“Ini juga akan dirangsang oleh model ikonik Proton Saga yang sedang menunggu untuk dilancarkan dan pelancaran versi X70 yang dipasang di dalam negara bagi tahun kewangan semasa,” katanya.

Sementara itu, perniagaan lain kumpulan itu dalam bidang aeroangkasa, pertahanan, perbankan, pos dan logistik, konsesi dan hartanah akan terus berkembang dan meluaskan asas pelanggan mereka agar terus berdaya saing dalam keadaan pasaran semasa yang mencabar.

“Di Pos Malaysia, pengurangan penghantaran surat tradisional terus memberikan tekanan ke atas pendapatan, sementara dalam perniagaan penghantaran bungkusan, Pos Laju menghadapi cabaran daripada pesaing baharu, termasuk perkhidmatan penghantaran bungkusan e-hailing. Namun, Pos Laju tetap menjadi peneraju pasaran dalam segmen ini.

“Pos Malaysia akan terus bekerjasama dengan pengawal selia untuk mendapatkan semakan tarif bagi perkhidmatan yang dikawal selia, memandangkan pertumbuhan kawasan perkhidmatan pos memberi tekanan besar terhadap kos operasi,” katanya sambil menambah bahawa kumpulan itu berharap dapat mencapai hasil positif dengan pengawal selia . - BERNAMA