CIMB Group Holding Bhd. dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata, keuntungan sebelum cukai CIMB Thai turut susut 44.5 peratus tahun ke tahun kepada 271.2 juta baht (RM34.8 juta).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Thai, Kittiphun Anutarasoti berkata, prestasi itu disebabkan oleh kenaikan perbelanjaan operasi sebanyak 9.6 peratus selain fi bersih dan pendapatan perkhidmatan serta lain-lain yang lebih rendah.

“Bagi asas tahun ke tahun, pendapatan operasi Kumpulan CIMB Thai meningkat sebanyak 381.7 juta baht (RM49.08 juta) atau 2.9 peratus kepada 13.54 bilion baht (RM1.74 bilion) daripada pendapatan faedah bersih lebih tinggi sebanyak 544.3 juta baht (RM69.99 juta) atau 5.3 peratus bagi tahun ke tahun, kebanyakannya disumbangkan oleh pertumbuhan pinjaman serta pendapatan faedah pelaburan yang lebih tinggi,” katanya.

Jumlah fi serta pendapatan perkhidmatan bersih susut sebanyak 136.5 juta baht (RM17.55 juta) atau 7.0 peratus, berikutan fi dan perbelanjaan perkhidmatan yang lebih tinggi.

Selain itu, pendapatan operasi lain bank itu juga susut sebanyak 26 juta baht (RM3.34 juta) atau 2.6 peratus akibat kemerosotan keuntungan transaksi urus niaga dan tukaran asing dengan sebahagian daripadanya ditampung oleh kerugian instrumen kewangan lebih rendah pada nilai saksama menerusi keuntungan atau kerugian serta peningkatan pulangan jualan pinjaman tidak berbayar (NPL).

“Bagi tahun berakhir 31 Disember 2018, perbelanjaan operasi meningkat sebanyak 733 juta baht (RM94.26 juta) atau 9.6 peratus tahun ke tahun, kebanyakannya akibat kenaikan kos pekerja yang seiring dengan strategi pengembangan ‘Fast Forward’ bank ini serta kerugian jualan hartanah.

“Ini menyebabkan nisbah kos berbanding pendapatan yang lebih tinggi iaitu 61.7 peratus pada 2018 daripada 57.9 peratus pada 2017,” katanya.

Kittiphun berkata, NPL kasar mencatat 9.9 bilion baht (RM1.27 bilion) dengan nisbah kasar NPL lebih rendah iaitu 4.3 peratus tahun ke tahun berbanding 4.8 peratus, berikutan dasar pengurusan risiko yang lebih cekap, peningkatan pengurusan kualiti aset dan proses kutipan pinjaman serta jualan NPL tertentu pada 2018.

Nisbah perlindungan kerugian pinjaman kumpulan CIMB Thai pula menokok 107.0 peratus bagi FY2018 berbanding 93.2 peratus pada FY2017.

Jumlah peruntukan bank itu mencecah 10.5 bilion baht (RM1.35 bilion) pada 31 Disember 2018 yang memaparkan lebihan sebanyak 5.0 bilion baht (RM642 juta) berbanding keperluan rizab yang ditetapkan oleh pihak Bank of Thailand. - BERNAMA