Projek di atas tanah seluas 1,800 hektar di bahagian barat Nusajaya dalam Iskandar Malaysia itu akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh 25 tahun, sekali gus bakal merancakkan lagi pembangunan di kawasan tersebut.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Land, Datuk Wan Abdullah Wan Ibrahim berkata, projek yang bakal membuka lembaran baru di Nusajaya itu merangkumi pembinaan kawasan perumahan, komersial dan tiga sektor lain yang telah dikenal pasti.

"Pelan projek telah diserahkan kepada unit perancang pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut dan kita jangka ia dapat dimulakan hujung tahun ini," katanya selepas merasmikan pembukaan galeri hartanah UEM Land di Heritage Place di sini hari ini.

Menurutnya, projek pembangunan bersepadu itu bukan hanya memberi tumpuan kepada pembinaan perumahan mewah, tetapi juga rumah mampu milik yang bakal dinikmati semua lapisan rakyat negara ini dan warga asing.

Mengenai galeri yang terletak di lokasi strategik di Tan Quee Lan Street itu, Wan Abdullah memberitahu, ia berperanan sebagai pusat maklumat untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan dan pelabur sedia ada di sini.

Menurutnya, premis pertama UEM Land di luar negara itu dibuka setiap hari mulai 9.30 pagi hingga 6.30 petang bagi memastikan setiap persoalan dan isu mengenai projek dan produknya dapat diselesaikan segera.