MAHB berkata, Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MASSB) anak syarikat milik penuh MAHB, telah dinamakan sebagai responden dalam tuntutan berkenaan.

“Permohonan tuntutan semakan kehakiman itu adalah antara lain mencabar Mavcom kerana enggan membuat keputusan pertikaian antara kedua-dua syarikat dengan MASSB,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

AirAsia dan AirAsia X mengemukakan tuntutan berhubung caj perkhidmatan penumpang (PSC) dan tahap perkhidmatan yang lemah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Pengendali lapangan terbang itu sebelum ini memfailkan beberapa tindakan mahkamah, termasuk tuntutan fitnah ke atas eksekutif kanan AirAsia kerana membuat kenyataan akhbar berhubungnya.-UTUSAN ONLINE