Ketua Pegawai Eksekutif Tricor, Lennard Yong berkata, Tricor ace akan berfungsi sebagai pusat kecemerlangan dan memberi khidmat sokongan merentasi perakaunan kewangan, senarai gaji, teknologi maklumat, khidmat korporat dan lain-lain perkongsian perkhidmatan.

Katanya, Tricor ace akan memberi ruang kepada pelanggan supaya mereka dapat memberi tumpuan untuk mengembangkan perniagaan mereka, sementara pihaknya menguruskan hal-hal yang lain.

“Kami juga akan membantu pelanggan kami untuk memperoleh yang terbaik daripada perniagaan mereka, melalui pusat kecemerlangan yang berlandaskan teknologi dan juga tenaga kerja profesional yang berkemahiran tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, Tricor ace, yang berteraskan konsep ‘One Tricor’ membabitkan jumlah pelaburan teknologi bernilai kira-kira 35 juta dolar Hong Kong (RM18.8 juta), mampu memaksimumkan kecekapan, produktiviti, dan menjanakan pertumbuhan perniagaan dengan lebih baik.

“Tricor ace akan memberi tumpuan terhadap membina operasi bersepadu yang berlandaskan teknologi bagi mempertingkatkan lagi pengalaman menyeluruh pelanggan, dan menyampaikan nilai perniagaan melalui proses perniagaan yang optimum di seluruh pasaran teras Asia,” katanya. -UTUSAN ONLINE