Pengarah Eksekutifnya Datuk Abdul Aziz Mohamad berkata syarikat itu menetapkan sasaran realistik iaitu sebanyak RM2 bilion tahun ini berbanding nilai tender RM5 bilion tahun lepas, sejajar dengan trend semasa dalam industri tersebut.

“Pada masa ini, bahagian pembinaan menyumbang 90 peratus kepada perolehan, manakala baki 10 peratus disumbangkan oleh segmen hartanah,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu, di sini, hari ini.

Beliau juga mengumumkan bahawa TRC memperoleh projek pembinaan bernilai RM609 juta tahun lepas.

“Bagi tahun ini, jumlah nilai projek kami telah bida dan akan membida adalah RM2 bilion, termasuk projek berkaitan dengan Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak,” katanya.

Mengulas mengenai kemerosotan indeks pembinaan yang tersenarai di Bursa Malaysia sebanyak 50 peratus tahun lepas dari 2017, Abdul Aziz berkata keadaan itu masih menjadi satu kebimbangan kerana ia mencerminkan ketidaktentuan pasaran.

“Tetapi dengan portfolio yang kami ada dan peluang yang diberi kepada syarikat, saya fikir kami tidak akan terjejas teruk seperti 50 peratus kaunter yang lain.

“Kami yakin yang kami masih dapat mencapai unjuran konservatif yang telah kami tetapkan,” katanya.

Pada masa hadapan, katanya, TRC Synergy merancang untuk meningkatkan sumbangan daripada segmen hartanah kepada 20 peratus, terutamanya selepas projek pembangunan bercampur Ara Damansara bermula pada suku akhir ketiga tahun ini.

Fasa pertama projek itu, usaha sama dengan Syarikat Prasarana Negara Bhd., ditangguhkan ke suku ketiga tahun ini daripada suku ketiga tahun lepas akibat keadaan pasaran yang lemah.

“Nilai pembangunan kasar projek Ara Damansara adalah RM1 bilion dan ia memberikan syarikat kira-kira RM200 juta setahun, bagi tempoh lima tahun dan ini sangat penting kepada perolehan kumpulan,” kata Abdul Aziz.

Ditanya sama ada TRC Synergy akan memulakan peluasan simpanan tanah, beliau berkata syarikat itu akan memberi tumpuan kepada usaha sama daripada melabur membeli tanah.

Projek pembangunan hartanah syarikat tertumpu di Lembah Klang, walaupun TRC juga memiliki tanah seluas 10.93 hektar di Sri Alam, Johor Bahru. - BERNAMA