Pakar Penarafan Institusi Kewangan RAM Ratings, Joanne Kek berkata, aliran perdagangan yang lebih besar dalam kalangan negara anggota akan meningkatkan permintaan bagi perkhidmatan pembiayaan perdagangan seperti surat kredit atau jaminan dan perlindungan nilai produk.

“Kita percaya pelbagai peluang strategik bagi bank-bank di Malaysia akan muncul sebagai kelebihan dalam perjanjian itu termasuk berpeluang mengembangkan asas pelanggan dan pendapatan.

“Walau bagaimanapun, sebahagian besar peluang tersebut akan mengambil masa yang agak panjang berikutan landskap domestik semasa yang mencabar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Malaysia dan 11 negara lain telah menandatangani TPPA pada 4 Februari lalu yang juga merangkumi perkhidmatan kewangan dan dijangka berkuat kuasa pada 2018.

Tambah Kek, selepas TPPA memberi kesan, Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kebolehannya dalam menguatkuasakan langkah-langkah yang kritikal terhadap integriti sistem kewangan domestik.

Katanya, langkah-langkah yang menjadi asas kepada struktur dan pelan pembangunan pasaran kewangan negara seperti terma pelesenan dan kelulusan, keperluan pegangan saham dan institusi kewangan pembangunan telah dikekalkan di bawah TPPA.

“Persaingan yang bakal muncul daripada bank-bank asal negara-negara anggota TPP mungkin akan dapat diatasi memandangkan sistem perbankan Malaysia sememangnya berdaya saing,” katanya.