Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Datuk Husni Salleh berkata, eksport syarikat-syarikat bumiputera perlu diberi tumpuan memandangkan hanya kira-kira 10 peratus syarikat-syarikat berkenaan terlibat dalam bidang tersebut.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap lebih banyak syarikat-syarikat bumiputera dapat memasuki program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TeraS) bagi mengambil peluang daripada pengecualian TPPA yang diberikan selain meningkatkan daya saing syarikat.

“Kita dapati melalui program TeraS, lebih banyak syarikat bumiputera kita telah berjaya menembusi pasaran luar negara, kalau boleh kita mahu pastikan semua syarikat bumiputera dapat memasuki program TeraS.

“Kita juga perlu ada pendekatan untuk memastikan pengecualian TPPA daripada diperluaskan (bagi melibatkan lebih ramai syarikat bumiputera) dan memastikan syarikat-syarikat lebih berdaya saing untuk mengambil peluang terbaik,” katanya dalam program taklimat media mengenai Laporan Pencapaian Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera 2015 di sini hari ini.

Kata Husni, Teraju yakin syarikat-syarikat bumiputera mampu menghadapi impak daripada pelaksanaan TPPA memandangkan libe-ralisasi juga telah dilaksanakan menerusi pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA).

Beliau memberitahu, Teraju telah terlibat dalam analisis kos faedah TPPA sejak dua tahun lalu menerusi kajian-kajian yang melibatkan impak terhadap syarikat-syarikat bumiputera dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Bagaimanapun, berhubung kesan TPPA terhadap penglibatan syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) dalam agenda ekonomi Bumiputera, Husni berkata, pihaknya perlu kajian penuh daripada Khaza-nah Nasional Bhd. (Khazanah) yang dijangka selesai Januari ini.

“Secara dasarnya, kesan TPPA tidak begitu ketara sangat kerana syarikat-syarikat bumiputera masih tiada kapasiti. Bagaimanapun, ada beberapa program yang memerlukan pengubahsuaian agar meme-nuhi syarat-syarat TPP,” katanya.