Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim
Hafsah Hashim

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp.), Datuk Hafsah Hashim berkata, persaingan melalui Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bukan lagi dianggap sebagai sesuatu yang baharu apabila PKS telah diberi pendedahan terhadap persaingan global sebelum ini.

Katanya, di dalam AFTA hampir 100 peratus produk yang didagangkan di rantau telah mengalami tarif yang sifar.

“PKS kita telah diletakkan di dalam keadaan yang bersaing apabila kita menyertai AFTA, banyak produk-produk yang didagangkan mengalami penghapusan tarif. Maka kita telah memberi persediaan kepada mereka.

“Malah menerusi TPPA, kita akan meluaskan lagi pasaran kepada PKS. Kita mahu memastikan mereka juga dapat mengambil kesempatan di dalam pasaran TPPA ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan majlis penghargaan bersama Perdana Menteri kepada peserta-peserta Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Malaysia pada awal bulan ini telah mengesahkan penyertaannya di dalam TPPA bersama 11 negara lain di rantau Asia Pasifik dan perjanjian itu dijangka berkuat kuasa pada 2018.

Mengulas lanjut, Hafsah berkata, anggota TPPA sendiri mempunyai hasrat untuk memastikan berlakunya pembangunan PKS dalam kalangan negara-negara yang menyertai perjanjian itu, dan akan memantau agar PKS dapat berkembang dengan baik.

Mengenai Program Tube, beliau berkata, siri ketiga program itu yang bakal dilancarkan pada tahun ini akan membabitkan peruntukkan sebanyak RM9 juta, iaitu penurunan berbanding siri kedua dengan dana berjumlah RM10 juta.

“Siri ketiga ini mempunyai sedikit cabaran kerana dana yang ada telah berkurangan. Namun, dengan kesungguhan yang dapat dipamerkan semasa siri sebelum ini, dijangka impak positif yang sama dapat dihasilkan,” katanya.

Program Tube dilancarkan oleh Perdana Menteri pada Mac 2014 bagi melatih dan menyediakan geran permulaan perniagaan kepada belia bumiputera bagi menjadi usahawan yang berjaya.

Daripada 448 belia bumiputera yang telah menyertai Program Tube sebagai kumpulan pertama, 99 peratus daripada mereka telah memulakan perniagaan dengan mencatatkan nilai jualan tahunan terkumpul tahun 2015 mencecah RM17.8 juta serta mencipta 848 peluang pekerjaan.