Beliau berkata, TH merancang untuk memperuntukkan semula campuran asetnya, te­r­utamanya aset yang terdedah tinggi kepada risiko, untuk membolehkannya meraih pendapatan lebih stabil pada masa akan datang, sekali gus membayar pulangan yang menarik kepada pendeposit.

“Saya fikir kami perlu melihat semula kepada campuran aset kami dan kami tidak seharusnya

ZUKRI SAMAT
ZUKRI SAMAT 

terdedah tinggi kepada ekuiti kerana ia adalah risiko yang tinggi (aset).

“Kami seharusnya lebih cen­derung kepada pendapatan tetap, bermakna kami melihat kepada sukuk dan kertas jaminan kerajaan supaya kami sekurang-kurangnya dapat menentukan jumlah pendapatan dan dividen yang kami akan pe­roleh,” kata­nya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di ibu pejabat agensi berita itu di sini, semalam.

Zukri berkata, ekuiti me­nyum­bang 55 peratus daripada portfolio aset TH pada 2017 dan berkurangan kepada 50 peratus pada 2018.

Beliau berkata, campuran aset semasa untuk ekuiti agak terlalu tinggi dan ‘kemungkinan akan dikurangkan’.

TH akan mula membangunkan draf bagi strategi peruntukan aset baharunya selepas mengumumkan hibah atau divi­den bagi 2018 yang ditetapkan sebelum akhir Mac, yang akan membantu agensi itu membuat penilaian yang lebih baik berdasarkan saiz dana terkininya.

Sehingga akhir 2018, saiz dana TH berjumlah RM74 bi­lion.

“Sebaik kami me­ng­umumkan hibah, kami mungkin akan menunggu sebulan, hanya selepas itu, kami dapat me­laksanakan strategi kerana kami akan tahu secara kasar kedudukan kami.

“Kemudian, kami akan meng­umumkan strategi itu pada Mei,” jelasnya.

Pada akhir tahun lepas, TH mengumumkan agensi itu me­laksanakan pelan pemulihan berdasarkan lembaran imba­ngannya yang lemah dengan liabiliti melebihi aset, menjadikan dana itu tiada keupayaan untuk membayar dividen.

Zukri berkata, pelan itu, yang melibatkan kerajaan menubuhkan syarikat tujuan khas (SPV) untuk mengambil alih aset TH yang tidak menunjukkan prestasi baik bernilai RM19.9 bilion, kini membuahkan hasil apabila lembaran imbangan kembali normal sehingga 31 Disember 2018.

Antara keputusan utamanya ialah menjual tanah Tun Razak Exchange (TRX) seluas 0.65 hektar, yang dibeli pada 2015 daripada 1Malaysia Development Bhd dengan nilai RM188.5 juta, kepada kerajaan pada nilai premium.

Buat masa ini katanya, TH tidak mempunyai aset untuk dijual dan ia hanya akan menyimpan aset yang baik yang memberi pendapatan yang wajar kepada syarikat.

“Kami berjaya memulihkan kedudukan kewangan TH. Kami tidak mempunyai masalah ali­ran tunai. Kami perlu menjana deposit, dan aset perlu melebihi liabiliti.

“Tempoh sukar sudah ber­akhir,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan untuk meninjau kelas aset baharu, katanya, TH tidak mempunyai hasrat sedemikian, menyatakan melabur dalam bidang yang TH tidak mempunyai kepakaran, walaupun ia menawarkan pulangan yang tinggi, hanya akan memberi risiko kepada syarikat dan menjejaskan potensi pertumbuhannya pada masa akan datang. – BERNAMA