Naib Presiden Kanan Tencent, S. Y. Lau berkata, Tencent berjaya menerima lesen e-pembayaran di Malaysia bagi transaksi tempatan, dan merancang pelancaran seawal tahun depan.

Katanya, usaha itu meletakkan syarikat tersenarai paling berharga di Asia tersebut sebagai saingan utama Alibaba Group ketika kedua-duanya mencari peluang pertumbuhan di luar China.

“Tencent mempunyai lebih 20 juta pengguna WeChat di Malaysia, satu potensi yang sangat besar, malah pasaran juga agak memberangsangkan terhadap produk internet dari China,” katanya kepada Reuters.

Asia Tenggara, tempat tinggal lebih 600 juta penduduk dan juga antara beberapa ekonomi paling pesat berkembang di dunia, telah menjadi `medan perang’ penting bagi gergasi teknologi China.

Selain itu, etnik Cina juga membentuk lebih satu perlima daripada populasi Malaysia secara keseluruhan.

WeChat Pay dan Alipay oleh Alibaba berusaha memperluaskan jejak global mereka, meskipun buat ketika ini terhad kepada perkhidmatan pembayaran bagi pelancong China di luar negara itu.

Mereka hanya perlu mengimbas untuk sebarang pembayaran di 34 buah negara menerusi Alipay, sementara menerusi WeChat Pay pula sebanyak 13 buah negara, menurut kedua-dua syarikat tersebut.

Syarikat induk Alipay, Ant Financial telah menjalankan usaha sama dalam tujuh pasaran berbeza untuk menawarkan perkhidmatan pembayaran digital tempatan yang beroperasi secara bebas.

Alibaba pula merancang membina sistem pembayaran global, sementara Tencent lebih berminat untuk menjana trafik di WeChat, dua strategi berbeza menurut institusi perbankan dan pelabur.

Penganalisis JP Morgan, John Hall berkata, WeChat mempunyai lebih banyak pengguna, tetapi jumlah urus niaga secara agregat Alipay adalah lebih tinggi.

Walau bagaimanapun, para pelabur lain menjelaskan bahawa WeChat Pay juga mampu memproses jumlah transaksi yang besar jika ia digunakan pada platform e-dagang. - REUTERS