.

Dalam laporan firma guaman Baker & McKenzie baru-baru ini bertajuk ASEAN Connections, inisiatif mega serantau ini dijangka akan meningkatkan integrasi serantau, dengan syarikat-syarikat mengiktiraf TPP dan RCEP sebagai ejen perubahan yang berkesan. Kajian yang dijalankan oleh Economist Corporate Network bagi pihak Baker & McKenzie, mendapatkan pandangan daripada 144 pemimpin syarikat multinasional besar bagaimana inisiatif-inisiatif mega serantau boleh mempengaruhi persekitaran perniagaan di ASEAN dan kesannya terhadap strategi perniagaan mereka.

Sebanyak 85 peratus daripada syarikat yang dikaji menjangkakan TPP dan RCEP akan me­ningkatkan integrasi ekonomi di rantau ini, meramalkan pertumbuhan dengan kadar yang sama dalam perdagangan (85 peratus) dan pelaburan (84 peratus) antara rantau. Ramalan ini adalah lebih tinggi sedikit daripada kadar dijangkakan daripada OBOR, iaitu 63 peratus bagi kedua-dua perdagangan dan pelaburan antara rantau.

Keahlian TPP juga memberikan negara anggota ASEAN manfaat bersaing berbanding negara bukan penandatangan dari segi penarikan masuk pelaburan, menurut 69 peratus daripada responden. Vietnam dan Malaysia, dijangka meraih manfaat terbanyak daripada TPP, yang mana Vietnam menjangka pening­katan sebanyak 8.1 peratus kepada pendapatan sebenar negara menjelang 2030, sementara pe­ningkatan sebanyak 7.6 peratus bagi Malaysia pada tahun yang sama.

Laporan itu menyatakan bahawa walaupun belum menjelang 2021, iaitu apabila TPP akan memberi kesan yang besar ke atas perdagangan, syarikat-syarikat perkilangan sudah mula memanfaatkan ASEAN sebagai pasaran dan pangkalan pengeluaran tunggal dan mengenal pasti lokasi bagi aspek proses pembuatan yang berbeza dengan kemahiran, kos, sumber dan keberkaitan yang paling sesuai.

TPP akan mendorong syarikat-syarikat di Malaysia untuk mencapai standard yang lebih tinggi dan menjadi lebih berdaya saing, serta lebih dipacu secara komersial. Perniagaan yang baik dan cekap akan berjaya apabila TPP menyediakan akses kepada pasaran yang lebih besar dan luas, dan akan berkembang apabila pengguna mempu­nyai lebih banyak pilihan ba­rang­an dan perkhidmatan.

Satu Jalur Satu Laluan (OBOR)

OBOR merupakan satu inisiatif yang akan memudahcara lebih banyak pembabitan oleh syarikat-syarikat China, terma­suk syarikat milik negara dalam aktiviti ekonomi negara-negara di sepanjang laluan sutera tradisional dan maritim. Syarikat-syarikat ini akan diberi insentif dan langkah-langkah yang dipermudahkan daripada Kerajaan China dan pelbagai institusi yang baru ditubuhkan seperti Kumpulan Dana Laluan Sutera dan Bank Pelaburan Infrastruktur Asia, untuk mengambil bahagian secara langsung dalam tender dan pelaburan dalam projek-projek utama dan secara khususnya, projek infrastruktur.

Dari segi manfaat yang diperoleh daripada OBOR, laporan tersebut mendedahkan bahawa syarikat-syarikat menjangka industri infrastruktur dan pembinaan akan meraih manfaat terbanyak daripada OBOR, di­ikuti oleh sektor pembuatan, e-dagang dan logistik.

Syarikat-syarikat di Malaysia boleh memperoleh kelebihan strategik ke atas peluang projek infrastruktur di rantau ASEAN yang lebih luas. Syarikat-syarikat tersebut harus mempertimbangkan untuk menerima pakai model hub and spoke bagi menggalakkan syarikat China mewujudkan usaha sama dengan mereka untuk merebut dan memanfaatkan peluang di rantau ini. Dalam erti kata lain, syarikat-syarikat di Malaysia yang sudah pun mempu­nyai kepakaran dan keupayaan serantau, boleh menjadi rakan kongsi ASEAN bagi syarikat-syarikat China dalam industri tertentu. Ia akan memberi manfaat khusus kepada syarikat-syarikat di Malaysia yang mempunyai kepakaran, teknologi dan kemampuan kewangan yang boleh dipasarkan.

Kesimpulannya, syarikat-sya­rikat di Malaysia harus melihat perjanjian perdagangan ini sebagai sumber peluang perniagaan dan tidak harus digeruni. Syarikat-syarikat kita mempunyai budaya penyesuaian yang tinggi: inilah DNA kita.

Syarikat-syarikat Malaysia sudah biasa mengharungi kerumitan budaya dan perjanjian perdagangan ini bukan sahaja akan menjadi peluang besar untuk memanfaatkan semangat keusahawanan para ahli perniagaan kita, tetapi juga untuk memulakan pembabitan mereka dengan penasihat-penasihat utama undang-undang atau kewangan – yang memahami persekitaran kawal selia dan perniagaan tempatan dan antarabangsa. Para penasihat ini juga menawarkan bantuan dan nasihat tentang nuansa budaya dan perniagaan yang sering timbul dalam urus niaga rentas sempadan.

MUNIR ABDUL AZIZ adalah Rakan Kongsi (Amalan Korporat dan Sekuriti) firma Wong & Partners