Menurut laporan Reuters yang memetik Menteri Minyaknya, Ezekiel Lul Gatkuoth berkata, negara itu mula membaiki telaga yang rosak akibat perang saudara dan pembukaan semula memberi tambahan output sebanyak 12,000 tong sehari dan me­ningkat kepada 70,000 tong sehari menjelang akhir 2019.

Sebelum kenaikan itu pengeluaran adalah pada 160,000 tong sehari.

Beliau turut memuji kerjasama dengan negara jiran, Sudan yang disifatkan sangat erat dan akan membawa kepada pembukaan blok-blok baharu.

Infrastruktur minyak Sudan Selatan terjejas teruk ketika perang saudara meletus pada 2013 iaitu dua tahun selepas negara tersebut mencapai kemerdekaan dari Sudan.

Pengeluaran jatuh kurang daripada separuh semasa praperang tetapi telaga yang rosak telah dibaik pulih de­ngan bantuan rakyat Sudan.

Tambah Gatkuoth, selain Petronas, syarikat India iaitu Oil and Natural Gas Corporation (ONGC Videsh) dan China National Petroleum Corporation (CNPC) mempunyai kepentingan di lapangan Sudan Selatan.

Katanya, kargo telah ditempah sehingga akhir Mac, tetapi kini akan ada tambahan minyak untuk dijual. Gabu­ngan Dar Sudan Selatan dijual dengan harga AS$61 (RM252) setong.

Sementara itu, Menteri Minyak Sudan, Azhari Abdel Qader berkata, pihaknya berjanji pengeluaran itu menjadi sesuatu yang penting kepada negara dan menjangkakan pengeluaran akan turut di­tingkatkan.

Sudan menerima antara AS$9 hingga AS$11 (RM37 hingga RM45) setong menggunakan pam milik Sudan Selatan melalui jajaran paip ke pelabuhan. – REUTERS