Pengarah Urusan Kumpulan Mohamad Helmy Othman Basha berkata berasaskan amalan Sime Darby Plantation sedia ada, dasar itu menetapkan standard untuk memenuhi tiada penebangan hutan, tiada tanah gambut, tiada eksploitasi (NDPE), selain harapan syarikat bahawa pembekal turut mematuhi standard yang sama.

“Dasar ini dirangka bagi memastikan pembekal kami dan pihak lain membekalkan minyak sawit bebas penebangan hutan, dan pada masa yang sama meningkatkan standard operasi NDPE masing-masing,” katanya.

Beliau berkata dasar itu juga menjelaskan tindakan yang akan diambil oleh syarikat apabila sesuatu isu dikenal pasti.

Helmy berkata menerusi dasar itu, pembekal yang didapati melanggar standard NDPE Sime Darby Palantation, perlu segera menghentikan kerja di kawasan berkenaan.

Beliau berkata pembekal perlu melaksanakan dua pelan - pelan tempoh pemulihan tanah yang dibersihkan dan pelan masa untuk menaik taraf amalan operasi mereka.

“Pembekal yang enggan memenuhi syarat tersebut akan digantung,” katanya.

Helmy berkata pembangunan dan pelaksanaan pelan pemulihan landskap serta pelan peningkatan operasi akan disahkan di peringkat luaran dan dipantau secara berterusan.

“Matlamat utama adalah untuk meningkatkan tahap skop pematuhan standard NDPE. Oleh itu, jika pembekal tidak mematuhi syarat Perladangan Sime Darby, syarikat itu akan dilibatkan dengan menyokong kemajuan mereka,” katanya.

Beliau berkata penglibatan semula secara konstruktif dalam memperkenal amalan baharu dan ditambah baik itu penting bagi menyelesaikan secara sistematik ketidakpatuhan terhadap NDPE.

“Menggantung pembekal boleh menjurus kepada akibat yang tidak dikehendaki apabila amalan tidak baik itu dialihkan ke tempat lain dalam sistem, menjadikannya tidak berdaya maju dan lebih sukar untuk ditangani. Ini bukanlah hasrat dasar ini,” katanya.

Helmy berkata keutamaan syarikat adalah untuk mencari penyelesaian kepada isu-isu dan ini perlu dilakukan melalui penglibatan dengan pembekal dan memberikan mereka peluang untuk membetulkan masalah tersebut.

Beliau berkata syarikat itu komited untuk bekerjasama dengan pembekal dalam merealisasikan pelan itu serta rakan kongsi organisasi bukan kerajaan bagi membangunkan kapasiti untuk penambahbaikan operasi serta meningkatkan pematuhan NDPE dalam kalangan pembekal. -BERNAMA