Pengarah Urusan Sime Darby Property, Datuk Ir. Jauhari Hamidi berkata, setakat hari ini pihaknya telah mencapai jualan sebanyak RM1 bilion menerusi 1,000 unit hartanah yang terjual dan yakin dapat memperoleh baki RM1.5 bilion menjelang Jun.

Katanya, ketika industri sedang bergelut dengan situasi pasaran hartanah yang lembab, Sime Darby mahu mengambil peluang untuk menerajui pasaran dengan me­nyampaikan produk-produk yang diperlukan pelanggan.

“Kami percaya apa yang ditawarkan oleh Sime Darby Property adalah bagi memenuhi keperluan pelanggan dan kami menyasarkan segmen-segmen pasaran pada harga yang dapat menarik perhatian pembeli,” katanya kepada pembe­rita selepas pelancaran Koleksi Gaya Hidup Hartanah Sime Darby 2016 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kanan Perbankan Pengguna CIMB Bank, Daniel Cheong; Ketua Perbankan Runcit Bank Rakyat, Mohd. Shahril Isa; Pemangku Ketua Perbankan Runcit AmBank, Anthony Chin; Ketua Pembangunan Perniagaan Citibank, Ong Wee Kuan; Pengarah Perniagaan Ne­geri Sela­ngor Bank Simpanan Nasional (BSN), Mohd. Hafis Hashim dan Ketua Pembiayaan Pengguna, Perkhidmatan Pembiayaan Komuniti Maybank, Abdul Razak Mohd. Nordin.

Jauhari berkata, antara projek yang akan dilancarkan dalam masa terdekat adalah fasa kedua Elmina Valley dan Quarza Residence di KL East serta beberapa projek di sekitar Ara Damansara.

Katanya, fasa pertama Elmina Valley merekodkan jualan 95 peratus pada hari pertama pelancarannya dan beliau yakin fasa kedua Elmina Valley berharga di antara RM600,000 hingga RM700,000 seunit yang akan dilancarkan esok turut mendapat sambutan.

Dalam pada itu, Jauhari turut memperkenalkan ‘Value Investment Priveleges (VIP) Fast Track Programme’ dengan kerjasama AmBank, Bank Rakyat, BSN, Citibank, CIMB, Maybank dan RHB sebagai panel institusi kewangan yang membantu pembeli berpotensi men­dapatkan pinjaman.

Katanya, pembeli berpotensi kini boleh menyemak status kredit masing-masing melalui bank-bank tersebut dan sekiranya layak mereka akan diberi pinjaman pra-lulus yang membolehkan mereka terus memiliki hartanah ditawarkan.

“Sime Darby menawarkan lima kategori bagi Koleksi Gaya Hidup Hartanah tahun ini iaitu ‘The Signature; Inspired Living, Practical Charm, High Life dan Prospectus’ bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza,” katanya.