Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Sime Darby berkata pengerusinya pada masa ini, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah akan bersara daripada lembaga pengarah syarikat pada 31 Oktober 2019 berikutan masalah kesihatan.

Abdul Rahman akan menyertai Sime Darby sebagai pengarah bukan bebas bukan eksekutif pada 1 September 2019 sebelum menjawat jawatan pengerusi.

“Kami bersedia bagi peralihan lancar kepimpinan lembaga pengarah di bawah hala tuju Abdul Rahman,” kata GCEO Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson.

Sime Darby merupakan antara syarikat strategik utama PNB dengan PNB memiliki 52 peratus kepentingannya.

Abdul Rahman ialah bekas Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ekuiti Nasional Bhd., firma ekuiti swasta berkaitan kerajaan.

Sebelum menyertai Ekuinas, beliau merupakan Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO Media Prima Bhd., kumpulan pelaburan media bersepadu terkemuka selain menjadi Pe­ngarah Urusan Kumpulan dan CEO Malaysian Resources Corporation Bhd.

Sementara itu PNB mengesahkan pelantikan Jalil Rasheed sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif PNB yang baharu berkuat kuasa 1 Oktober 2019.

Menurut PNB, Jalil ketika ini menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif operasi Asia Selatan di syarikat Invesco, sebuah firma pelaburan global utama yang mengurus lebih AS$1.2 trilion (RM5.05 trilion) dalam pelbagai kelas aset pelaburan di lebih 25 negara.

“Sebelum ini, beliau berpangkalan di luar negara dan pelantikan baharu di PNB adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memanfaatkan bakat Malaysia yang bekerja di luar negara dan ia juga seiring dengan inisiatif strategik PNB untuk mempelbagaikan aset di peringkat global,” katanya.

Jalil merupakan pemegang ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Perakaunan & Kewangan (Kepujian) dari London School of Economics & Political Science (LSE), United Kingdom.

Beliau mula bekerja pada tahun 2003 sebagai pelatih graduan di Aberdeen Standard Investments dan kemudian dilantik sebagai Pengurus Pelaburan dan seterusnya Ketua Ekuiti sebelum menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Aberdeen Islamic Asset Management pada 2010.