Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines Group, Ahmad Luqman Mohd. Azmi berkata, platform itu yang dikendalikan dengan kerjasama TUI Group, sebuah syarikat pengembaraan dan pelancongan terkemuka Eropah telah merekodkan sebanyak 2,000 tempahan sejak prapelancarannya Jun lalu.

“Syarikat menyasarkan menerima 5,000 tempahan setiap bulan menjelang akhir tahun 2019 dan kami juga berharap dapat merekodkan 1,000 tempahan setiap bulan pada masa akan datang,” katanya pada majlis pelancaran MHholidays di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Lembaga Pengarah Eksekutif TUI Group, Frank Rosenberger.

Tambah Ahmad Luqman, MHHolidays merupakan penambahan kepada aplikasi MHassistant yang dilancarkan pada Mei lalu dan bertujuan menyediakan pengalaman pe­rancangan percutian bermula daripada tempahan penerba­ngan ke penginapan dan ba­nyak lagi.

Ujarnya, MHholidays menawarkan pakej penerbangan dan penginapan di lebih 5,000 buah hotel daripada lebih 50 destinasi di seluruh dunia.

Katanya, pelanggan juga boleh menikmati tawaran eksklusif dan mampu milik daripada Malaysia Airlines serta memanfaatkan penjimatan sehingga 80 peratus ke atas harga penginapan hotel.

Sementara itu Ahmad Luqman enggan mengulas ketika ditanya mengenai pelantikan bank pelaburan Amerika Syarikat, Morgan Stanley untuk memberi nasihat mengenai rancangan masa depan syarikat penerbangan itu.

“Ia adalah hal yang berkaitan dengan pemegang saham, saya lebih suka untuk tidak mengulas mengenainya,” kata Ahmad Luqman.

Isnin lalu Bloomberg mela­porkan Khazanah Nasional Bhd. melantik Morgan Stanley untuk meneroka strategi baharu bagi Malaysia Airlines.

Pada bulan Mac, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan empat cadangan bagi syarikat penerbangan itu, termasuk kemungkinan menutupnya.

Syarikat penerbangan itu mencatatkan kerugian bersih bernilai RM812.11 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Di­sember 2017.