Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Dr. Li Chunrong berkata, kedua-dua model berkenaan yang dijangka dilancarkan se­rentak pada bulan ini mampu memacu pertumbuhan jualan serta mengukuhkan kedudukan pasaran Proton dalam pasaran automotif tempatan.

Menurut beliau, jualan Iriz dan Persona ketika ini masing-masing sebanyak 1,000 dan 2,000 buah kenderaan sebulan.

“Proton berusaha keras untuk menawarkan produk terbaik kepada para pelanggan. Dalam tempoh 17 bulan menjalin kerjasama bersama Zhejiang Geely Holdings Group Co. Ltd. kami berjaya menghasilkan produk-produk yang hebat dengan mengintegrasikan teknologi dan kehendak pelanggan.

“Syarikat diunjur dapat mencapai titik pulang modal pada tahun semasa selepas memulakan 2019 dengan prestasi yang memberangsangkan sekali gus kembali mencatatkan keuntu­ngan pada 2020,” katanya dalam majlis pratonton Proton Persona 2019 kepada media di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan CEO Proton, Datuk Radzaif Mohamed; Pengarah Kejuruteraan Proton, Hazrin Fazail Haroon; Ketua Pegawai Perolehan Proton, Lim Meng Jin dan Pengarah Jualan Antarabangsa Proton, Steven Xu.

Tambah Li Chunrong, Proton optimis untuk kembali berada di kedudukan kedua pada tahun ini dari segi jumlah jualan ken­deraan (TIV).

Proton mencatatkan pendaftaran jualan keseluruhan bagi Februari sebanyak 5,283 buah kenderaan mewakili kira-kira 12.7 peratus penguasaan pasaran dengan peningkatan lebih tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Setakat akhir Februari lalu, lebih 20,000 tempahan telah diterima untuk model kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama Proton di mana angka berkenaan melebihi jangkaan syarikat.

Iriz yang dipertingkat mendapat 350 tempahan dalam talian selepas dibuka pada 1 Mac lalu dengan harga tempahan serendah RM9.99 serta cukai jalan percuma selama dua tahun.

Persona 2019 menerima 303 penambahbaikan terutama pada wajah luaran, bahagian brek, penjimatan minyak dan kerangka luar. Model itu juga didatangkan dengan enam beg udara dan mendapat pengiktirafan lima bintang ASEAN NCAP.