Sapura Energy juga dipilih bagi perjanjian kerangka dengan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) untuk melaksanakan kerja-kerja struktur luar pesisir, menurut Sapura Energy dalam kenyataan hari ini.

Unit Sapura Energy, Sapura Offshore Sdn. Bhd. diberkan kontrak oleh Yunneng Wind Power Co. Ltd. bagi pembekalan pengangkutan dan pemasangan substruktur turbin angin luar pesisir.

Skop kerja itu merangkumi pengangkutan dan pemasangan substruktur (asas) bagi turbin angin luar pesisir di Ladang Angin Luar Pesisir Yunlin di Taiwan.

Sementara itu, Sapura Fabrication Sdn Bhd pula memperoleh perjanjian kerangka bertempoh enam tahun daripada Petronas bagi pembekalan kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan kerja-kerja struktur luar pesisir kekal.

Perjanjian ini mempunyai dua pakej iaitu struktur luar pesisir kekal dengan berat melebihi 7,500 tan metrik (MT) dan struktur luar pesisir kekal dengan berat tidak melebihi atau sama dengan 7,500 MT, dan terpakai bagi projek di bawah Kontrak Pengaturan Petroleum.

Segmen penggerudian pula, Sapura Drilling Asia Sdn. Bhd. memperoleh kontrak daripada Sarawak Shell Bhd dan Sabah Shell Petroleum Company Ltd bagi pembekalan rig penggerudian ‘semi tender-assisted’, Sapura Esperanza.

Skopnya meliputi pembekalan perkhidmatan rig penggerudian ‘semi-submersible tender assisted’ bagi medan F14, luar pesisir Malaysia, untuk dua telaga dengan tempoh lanjutan berganda sehingga 17 telaga tambahan secara purata.

Sapura Drilling Asia pula memenangi kontrak daripada Petronas Carigali Sdn. Bhd. bagi pembekalan rig penggerudian ‘tender-assisted’, Sapura T-10, untuk program penggerudian Lutong Barat.

Ia meliputi perkhidmatan rig penggerudian untuk empat telaga di Medan Lutong Barat, dengan opsyen lanjutan satu-tambah-satu telaga.

Sementara itu, Sapura Drilling Asia Ltd diberikan kontrak oleh Chevron Thailand Exploration & Production Ltd. bagi pembekalan Sapura T-18. Kerja-kerja itu terdiri daripada perkhidmatan rig penggerudian ‘tender-assisted’ di luar pesisir Thailand.

Berasaskan keupayaan Operasi Telaga Ringan (LWI) dan rekod prestasi di Australia, Normand Sapura Pty. Ltd. diberikan kontrak LWI bagi dua telaga di North West Shelf daripada Woodside Energy Ltd.

Selain itu, Sapura Energy mengurangkan kerugian bersih kepada RM109.10 juta pada suku pertama berakhir 30 April, 2019 daripada RM135.73 juta pada tempoh yang sama 2018.

Perolehan pula melonjak kepada RM1.63 bilion daripada RM845.17 juta bagi tempoh yang sama. -BERNAMA