Saham syarikat berkenaan dibuka pada 14 sen pagi ini dan ditutup pada 20.5 sen pada Khamis.

Sebelum itu pada sesi daga­ngan pagi, saham syarikat penyedia perkhidmatan katering itu jatuh 58.54 peratus atau 12 sen kepada paras terendahnya, 8.5 sen.

Pada pukul 12 tengah hari saham Brahim’s jatuh 10 sen ke paras 10.5 sen.

Penyedia perkhidmatan ka­tering itu berkata, ia kini merupakan syarikat tersenarai yang terjejas dan berhadapan risiko dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia.

“Berdasarkan keputusan kewangan belum diaudit Brahim’s untuk suku keempat yang berakhir 31 Disember 2018, ekuiti pemegang saham syarikat pada dasar yang disatukan bernilai kurang daripada RM40 juta atau mewakili 25 peratus atau kurang daripada modal terbitannya.

“Oleh itu, Brahim’s sekarang dianggap sebagai syarikat PN17,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini semalam.

Brahim’s berkata, syarikat mempunyai tempoh masa 12 bulan dari sekarang untuk menye­rahkan pelan regularisasi kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan melaksanakannya dalam jangka masa yang ditetapkan oleh SC atau Bursa Securities.

Syarikat itu melaporkan kerugian bersih sebanyak RM103.14 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 (FY18), berbanding kerugian bersih sebanyak RM6.94 juta pada tahun sebelumnya.

Semasa zaman kegemila­ngannya pada 2013 dan 2014, Brahim dilihat sebagai satu daripada syarikat yang menjadi tumpuan di pasaran saham.

Syarikat itu pernah merekodkan nilai saham tertinggi pada paras RM2.42. Bagaimanapun pada 2015, harga sahamnya merosot di bawah RM1.

Dengan harga terbitan RM2 pada 1994, Brahim tidak berjaya bangkit daripada kemerosotan itu dan sahamnya tidak melepasi paras 60 sen sejak Jun 2016.