Ketua Pegawai Eksekutif Sepang Aircraft Engineering (SAE) Sdn. Bhd., Raymond Lim berkata, unjuran itu berdasarkan bilangan trafik udara global yang dijangka bertambah dua kali ganda dalam setiap 15 tahun.

“Malah di Asia Pasifik sahaja, bilangan pesawat di rantau ini bakal meningkat daripada 6,000 buah kepada 20,000 buah dalam tempoh 20 tahun.

“Sehubungan itu dengan melihat potensi berkenaan, MRO negara ini akan terus mendapat permintaan tinggi daripada syarikat-syarikat penerbangan untuk menyelenggara dan membaik pulih pesawat masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi Media Bersama SAE di sini hari ini.

Menurut Lim, SAE bukan sahaja menjadi peneraju MRO di negara ini, tetapi juga di rantau Asia Pasifik apabila syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa menggunakan perkhidmatan mereka yang berpusat bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, selain Malaysia Airlines Berhad dan AirAsia, antara pelanggan SAE adalah IndiGo, Bangkok Airways, Jetstar Asia dan Scoot.

“Permintaan perkhidmatan penyelenggaraan pesawat di rantau ini boleh dikatakan yang ketiga terbesar di peringkat global iaitu dengan jangkaan menjana pendapatan RM2.7 trilion dalam 20 tahun akan datang.

“SAE selaku syarikat MRO bagi kapal terbang jenama Airbus jenis A320 dan ATR 72/42 menawarkan khidmat penye­langgaran dalam pelbagai aspek,” katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, SAE setakat kini sahaja telah melakukan 600 penyelenggaran terhadap pesawat jenis A320 dan ATR 72/42.

“Berdasarkan kemampuan dimiliki kami iaitu kemudahan dua hangar, kecanggihan teknologi dan 600 kakitangan terdiri daripada warga tempatan, kami menyasarkan 700 penyelenggaraan pada tahun ini,” katanya.