EPIC dalam kenyataannya hari ini berkata, anak jati Terengganu itu mempunyai kelulusan Sarjana Pengurusan Keselamatan Industri dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Saabi, 52, sebelum ini berkhidmat di PTTEP Hong Kong Offshore Limited dan mempunyai 28 tahun pengalaman dalam sektor perniagaan melibatkan industri huluan minyak dan gas di beberapa buah syarikat terkemuka dunia.

Beliau berpengalaman luas dalam pelbagai bidang utama industri minyak dan gas khususnya pengurusan projek, operasi, perancangan, pengurusan rantaian pembekalan, pembuatan, kejuruteraan dan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar.

“Dengan kepakaran dan kepemimpinannya di peringkat pengurusan dalam industri minyak dan gas, amat bertepatan beliau dilantik untuk memacu pertumbuhan EPIC seterusnya.

“Selain itu, beliau juga terlibat dalam projek-projek khas terutamanya dalam `Terengganu Petroleum Council Technical Working Group’,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Saabi dipetik sebagai berkata, beliau berbesar hati dan bersedia untuk berkhidmat sebagai CEO Kumpulan EPIC dan seterusnya menerajui syarikat berkenaan ke fasa pertumbuhan selanjutnya.

Beliau juga berharap agar EPIC akan terus mencapai kejayaan yang lebih besar serta memanfaatkan peluang-peluang yang ada.

EPIC merupakan syarikat yang menyediakan perkhidmatan dan penyelesaian bersepadu untuk industri minyak dan gas, logistik dan tenaga.

Dengan mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi selain pengurusan yang berpengalaman, EPIC pada hari ini telah memperluaskan perniagaannya melalui pengurusan aset & amp; hartanah dan juga penjanaan tenaga solar. - UTUSAN ONLINE