Ketua Pegawai Eksekutif Air­Asia, Riad Asmat berkata, AirAsia kini akan mengenakan tambahan RM23 bagi PSC, dan jumlah perbezaan akan dinyatakan dengan jelas dalam perincian tambang sebagai ‘PSC (Dalam Bantahan)’.

Jelas beliau, sebelum ini kumpulan hanya mengenakan caj sebanyak RM50 bagi setiap penumpang berikutan syarikat itu merasakan penumpang KLIA2 tidak sepatutnya membayar PSC sama seperti yang berlepas dari terminal utama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ini kerana, tegasnya, AirAsia dan AirAsia X menganggap kemudahan dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan di KLIA adalah lebih unggul berbanding di KLIA2.

“Kami akan mengenakan PSC penuh sebanyak RM73 tetapi kami berbuat demikian de­ngan protes kuat. Perincian tambang PSC yang dinyatakan akan membolehkan 5.5 juta tetamu kami yang berlepas dari KLIA2 ke destinasi bukan ASEAN setiap tahun untuk melihat berapa banyak mereka bayar untuk kemudahan di KLIA2.

“Saya percaya ramai yang akan bersetuju dengan kami bahawa bayaran yang dikenakan adalah tidak berbaloi terutama jika dibandingkan dengan kemudahan di KLIA,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail berkata, pihaknya agak keberatan untuk mengenakan caj tersebut serta bersimpati terhadap para tetamunya.

“PSC bagi penerbangan ke destinasi di luar ASEAN telah naik lebih dua kali ganda dalam masa kurang dua tahun daripada RM32 pada 2016 kepada RM73 mulai tahun lepas. Ini kenaikan melampau dan kami akan terus membantah menerusi semua saluran undang-undang.

“Walau bagaimanapun, kami terpaksa mengutip tambahan sebanyak RM23 kerana kami tidak mampu untuk terus memberi subsidi kepada para tetamu kami sekiranya rayuan kami akhirnya tetap tidak diterima di mahkamah. Kami harap para tetamu kami dapat memahami situasi ini,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini menolak permohonan AirAsia Berhad dan AirAsia X untuk memba­talkan tuntutan berkaitan tunggakan bayaran Caj Perkhidmatan Penumpang kepada anak syarikat Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MASSB).

MAHB telah mengenakan Caj Perkhidmatan Penumpang baharu sebanyak RM73 kepada para penumpang yang menggunakan KLIA2 ke destinasi-destinasi di luar ASEAN sejak Julai 2018. Ia merupakan kadar yang sama dikenakan untuk terminal perkhidmatan penuh KLIA.