Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd. Datuk Dr. Zahari Husin berkata, ini kerana pihaknya sedar mengenai kewujudan produk dan alat ganti tiruan di pasaran yang menggunakan jenama ­Perodua dan sebahagiannya sukar dibezakan dengan yang tulen.

“Ini termasuk minyak pelincir, penapis minyak, ­penyerap kejutan dan pad brek. Perkara ini amat membimbangkan kerana barangan tersebut merupakan barangan kritikal.

“Pelanggan boleh terpe­daya membeli dan menggunakan barangan tiruan ini pada kenderaan mereka, ini bukan sahaja akan membatalkan waranti tetapi boleh menjejaskan keselamatan dan keadaan kenderaan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perodua bersama dengan pengedar servis dan stokis terpilih telah menyampaikan taklimat menyeluruh kepada 120 pegawai penguat kuasa KPDNHEP, memberi pengenalan kepada pelbagai produk dan alat ganti Perodua, di mana produk dan alat ganti tersebut dijual, aliran logistik dan kaedah membezakan barangan tulen dan tiruan.

Yang turut hadir dalam sesi taklimat di ibu pejabat Perodua, Sungai Choh itu termasuk Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Pencegahan) KPDNHEP, Suhaimi Mat Sari.

Tambah Zahari, sebagai syarikat automotif yang bertanggungjawab pihaknya ingin mengingatkan para pengguna supaya berhati-hati dan tidak terjebak de­ngan taktik peniaga-peniaga tidak bertanggungjawab yang menjual barangan tiruan Perodua.

“Beli dan pakailah produk dan alat ganti tulen Perodua daripada stokis-stokis kami yang sah atau mana-mana pusat servis Perodua di seluruh negara.

“Produk dan alat ganti tulen Perodua boleh didapati dengan harga berpatutan dan memberi ketenangan minda sepenuhnya. Sebagai alternatif, kami juga menawarkan produk dan alat ganti ProGanti, yang lebih mampu milik dan tetap diuji serta diperakui Perodua,” katanya

Sementara itu Suhaimi berkata, KPDNHEP menyambut baik inisiatif yang dijalankan oleh pengeluar kenderaan tempatan itu dan berharap ia akan memberi manfaat serta membantu tugas para pegawai kementerian untuk mengesan, mengenalpasti dan membanteras barangan tiruan Perodua di pasaran.