Formula bahan api baharu itu memanfaatkan kemudahan penyelidikan dan pembangunan bertaraf dunia di Eropah dan Amerika Syarikat (AS), menjanjikan pemanduan lancar, prestasi enjin responsif, dan peningkatan kecekapan bahan bakar Petronas.

Ketua Teknologi Bahan Api Petronas, Mohamad Hafiz Abd. Aziz, berkata detergen dua kalinya membantu menghapuskan sehingga 99 peratus deposit karbon bagi memastikan kebersihan enjin dan kecekapan bahan api yang lebih baik.

Mohamad Hafiz berkata jurutera mencipta bahan api yang memenuhi keperluan teknologi enjin jalan raya semasa, daripada suntikan tidak langsung kepada suntikan langsung serta hibrid.

“Selain itu, kimia anti-karat memberikan enjin dua kali perlindungan yang lebih baik untuk prestasi enjin unggul. Kami membangunkan bahan api baharu untuk memenuhi keperluan manusia dan keperluan enjin,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata hasil daripada ujian bersama lebih 200 pengguna sangat menggalakkan, dengan lebih 70 peratus peserta mendapati bahan api baharu lebih baik daripada bahan api semasa mereka dari segi kelancaran, responsif dan kecekapan.

Pada 29 Januari Petronas Dagangan Bhd. memperkenal Petronas Primax 95 baharu dengan Pro-Pemanduan sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat untuk merealisasikan pengalaman pemanduan yang lancar. - BERNAMA