Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PLI, Giuseppe D’Arrigo berkata, Petronas iona memberikan prestasi optimum dan ketahanan komponen untuk EV.

Menurut beliau, Petronas iona terdiri daripada tiga rangkaian produk iaitu Thermal, Integra dan Glide.

“Cecair bateri Thermal membantu mengoptimumkan dan kecekapan penggunaan EV sementara Integra untuk sistem pemacu bersepadu pengurusan geseran. Glide pula merupakan gris galas ge­nerasi baharu untuk pemanduan yang lebih tenang, tahan lama dan lasak.

“Pengenalan iona dan cita-cita PLI untuk menyediakan penyelesaian cecair bagi EV merupakan satu langkah ke hadapan dalam menukar ikrar kepada realiti. Ini merupakan penyelesaian ke arah pengangkutan yang lestari pada masa depan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah D’Arrigo, dunia hari ini lebih menekankan kepada tanggungjawab alam sekitar dan begitu juga dengan Petronas.

Katanya, pengeluar peralatan tulen (OEM) dalam sektor automotif perlu mematuhi pelbagai peraturan pengurangan pelepasan karbon.

“Kami sentiasa bersedia dan secara konsisten mengembangkan Penyelesai­an Teknologi Cecair bagi memenuhi cabaran masa depan bersama-sama dengan rakan kerjasama.

“Dunia kini bergerak ke arah tenaga bersih dan ini merupakan peluang untuk kami bekerjasama bagi mengurangkan pelepasan karbon dioksida dengan penyelesaian cecair yang mudah diakses oleh semua,” ujarnya.

Tahun lalu, PLI berikrar bahawa 75 peratus daripada pelaburan untuk penyelidikan dan teknologi (R&T) digunakan bagi mengurangkan pelepasan karbon dioksida.