Ketua Pegawai Eksekutif QSR Brands (M) Holdings Bhd. (Bahagian Restoran), Merrill Pereyra berkata, Pizza Hut yakin mencapai tahun lebih baik susulan usaha mengukuhkan lagi kehadirannya di negara daripada 393 restoran ketika ini.

“Dana bagi rancangan peluasan ini sebahagiannya datang daripada tawaran awam awal (IPO) daripada penyenaraian akan datang QSR Brand di Papan Utama Bursa Malaysia, dijangka pada suku akan datang tahun ini.

“Di samping itu, kami juga akan fokus pada pengimejan semula wajah kami, meningkatkan platform digital dan inovasi produk,” katanya kepada pemberita pada majlis makan tengah hari bersama media di sini hari ini.

QSR Brands merupakan syarikat pengendali restoran Pizza Hut dan KFC di Malaysia.

Syarikat tersebut merancang menerbitkan sehingga 1.465 bilion saham daripada IPO, menurut draf prospektusnya.

Pereyra menjelaskan, kos untuk membuka sebuah restoran antara RM600,000 hingga RM1.2 juta, bergantung pada nilai hartanah dan perjanjian.

Berhubung soal mengendalikan cabaran seperti peningkatan kos operasi dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), beliau berkata syarikat akan memastikan ia menempatkan orang yang betul dan menggariskan strategi tepat untuk membolehkan tawaran dan nilai terbaik ditawarkan kepada pelanggan.

“Sesetengah produk kami diimport, oleh itu kami berdepan turun naik tukaran mata wang asing. Ketika ini satu daripada cara untuk mengekang kenaikan harga produk kami adalah dengan cara mendapatkan kontrak jangka panjang dengan pembekal,” katanya. - BERNAMA