Menurut dua sumber yang rapat dengan perkemba­ngan tersebut, syarikat-syarikat minyak global sedang mencari peluang untuk mempelbagaikan dan melabur dalam ekonomi hijau India yang sedang berkembang berikutan ruang bagi hidrokarbon konvensional kini mengalami gangguan teknologi.

Antara syarikat yang me­nunjukkan minat bagi mela­bur dalam Amplus Energy terma­suklah syarikat minyak Norway, Statoil ASA; syarikat minyak Perancis, Total SA dan Shell Plc.

Selain itu, syarikat minyak yang berpangkalan di Rusia, OAO Rosneft turut mengintai peluang ke atas Amplus Energy yang telah membina kemudahan solar dengan kapasiti 350 megawatt di seluruh India.

“Rundingan ini dibuat Petronas bagi memperoleh kepen­tingan majoriti di dalam Amplus Energy,” kata sumber pertama yang tidak ingin dikenali.

Seorang lagi, yang juga tidak mahu dinamakan, mengesahkan perkembangan berkenaan.

Penjanaan tenaga boleh diperbaharui menarik minat yang kukuh dalam kalangan pelabur berikutan pasaran di India mempunyai beberapa pemaju dengan portfolio besar.

Warburg Pincus LLC, firma ekuiti swasta yang berpangkalan di New York, pada 2017 mengumumkan pelaburan bernilai AS$100 juta (RM410 juta) ke dalam pemaju solar bumbung CleanMax Solar.

India merancang untuk menambah kapasiti kuasa solar kepada 100 gigawatt (GW) menjelang 2022, dengan 40GW daripadanya merupakan projek solar bumbung.

Ditubuhkan pada 2010, antara pelanggan utama Amplus Ene­rgy termasuklah India Yamaha Motor Pvt. Ltd., Jubilant FoodWorks Ltd., Walmart India Pvt. Ltd., Hilton Hotels Corp. dan Vatika Group yang cuba mengurangkan kos tenaga dengan memanfaatkan matahari.

“Saya ingin mengatakan Amplus tidak mengulas me­ngenai spekulasi pasaran,” kata jurucakap Amplus dalam satu kenyataan balas terhadap pertanyaan berhubung laporan berkenaan.

Petronas juga tidak memberi maklum balas terhadap pertanyaan berkaitan pembe­lian saham Amplus. – AGENSI