Presiden (Penerbangan) AirAsia Group Bhd, Bo Lingam berkata, peningkatan tersebut dipacu oleh pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 18 peratus dalam jumlah penumpang yang dibawa iaitu sebanyak 12.8 juta orang.

Katanya, pendapatan sampingan juga meningkat 39 peratus tahun ke tahun kepada RM687 juta dipacu oleh kedua-dua pendapatan sampingan daripada penerbangan dan bukan penerbangan.

Beliau berkata, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bagi kumpulan disatukan untuk suku tersebut bagaimanapun menurun sembilan peratus kepada RM473 juta.

“AirAsia terus mengembangkan pengaruhnya di seluruh rantau ini pada suku kedua 2019, menarik bahagian pasaran dari para pesaing kami di kebanyakan pasaran yang kami ada, untuk kedua-dua sektor domestik dan antarabangsa.

“Walaupun kapasiti berkembang sebanyak 19 peratus tahun ke tahun, faktor muatan kekal kukuh pada 85 peratus, menunjukkan permintaan terhadap pelancongan yang semakin meningkat untuk perjalanan udara di seluruh pasaran di mana kami beroperasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE

.