Presiden dan Ke­tua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, tempahan untuk model kenderaan utiliti sukan (SUV) itu kini dibuka de­ngan anggaran harga antara RM72,200 dan RM77,200 sebuah tidak termasuk insurans untuk Semenanjung Malaysia.

Menurut beliau, Aruz adalah model transformasi keempat yang menetapkan piawaian baharu terhadap aspek kualiti, ruang, kecekapan bahan api dan keselamatan dan muncul antara SUV yang menawarkan nilai terbaik di Malaysia.

Nama Aruz dipilih berdasarkan perkataan Bahasa Me­layu iaitu arus yang membawa maksud aliran. Arus merujuk kepada pergerakan dinamik yang sentiasa berterusan dan menunjukkan peningkatan serta menjadi simbolik kepada Aruz yang melambangkan anjakan gaya hidup.

Tambah Zainal Abidin, jentera tersebut mendapat penarafan keselamatan lima bintang ASEAN NCAP dan dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan seperti Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula-Daki (HSA), ISOFIX dan enam beg udara.

Katanya, ciri-ciri itu adalah standard untuk kesemua va­rian sementara sistem bantuan pemanduan selamat (ASA) yang telah dipertingkatkan, ASA 2.0 hanya terdapat pada varian ­Advance.

“Aruz dikuasakan enjin empat silinder 1.5 liter blok aluminium dengan Dual VVT-i dan transmisi automatik yang dikawal secara elektronik (E-AT). Sistem melahu eko (Eco Idle) memberi kecekapan bahan api sehingga 15.6 kilometer/liter sekali gus membolehkan ia diiktiraf sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV).

“Aruz dilengkapi lampu depan diod pemancar cahaya (LED) dengan fungsi Follow Me Home (pada varian Advance) serta menggunakan rim aloi dwi tona 17 inci. Ciri-ciri standard lain adalah butang penghidup enjin, radio skrin sesentuh dengan kamera undur, pendingin hawa digital, corong penyaman udara untuk penumpang belakang dan alat pembaca kad tol,” ujarnya.

Bahagian dalaman untuk varian Advance lebih eksklusif dengan kemasan kulit pada kerusi dan stereng, kawalan terima panggilan, perakam video memandu bersepadu, HDMI, Smart Link, Bluetooth dan navigasi.

Perodua Aruz ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5X dan 1.5 Advance dengan lima pilihan warna iaitu Ivory White, Glittering Silver, Electric Blue, Granite Grey dan warna baharu, Amazon Green.