Menurut penganalisis ekonomi daripada firma penganalisis terkemuka yang enggan namanya didedahkan, jumlah itu bagaimanapun tidak termasuk perbelanjaan membeli pesawat yang jumlahnya lebih tinggi.

“Nilai ekuiti MAB sekarang mungkin kosong kerana syarikat itu masih merekodkan kerugian, dan disebabkan itu Khazanah Nasional Bhd. mempertimbangkan untuk permodalan semula MAB bagi memastikan ia terus beroperasi.

“Tetapi isunya di sini adalah berapa yang mampu ditawarkan dan berapa jumlah dana bagi mengekalkan operasi syarikat penerbangan negara itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat enam usahawan diketuai bekas Pengerusi AirAsia Bhd., Datuk Pahamin Ab Rajab yang berminat untuk memulihkan MAB setelah bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Dr. Mahathir merupakan Pengerusi Khazanah yang juga pemegang saham tunggal MAB.

Pahamin dalam laporan berke­naan berkata, pembiayaan tidak menjadi masalah kerana rakan kongsinya boleh mendapatkan dana bagi Najah Air, syarikat yang ditubuhkan bagi tujuan mengambil alih kepentingan dalam MAB.

“Kami tidak akan meminta kerajaan untuk pinjaman atau jaminan. Malah, pembiayaan merupakan masalah paling kecil bagi kami. Rakan saya boleh mendapatkan wang itu. Kemudian orang akan datang dan melabur. Kami telah bercakap dengan institusi tempatan dan asing. Kami juga bercakap dengan mereka yang akan melakukan usaha yang wajar,” kata Pahamin.

Sementara itu ditanya mengenai kemampuan Pahamin untuk memulihkan MAB, penganalisis itu berkata, ia adalah suatu perkara yang sukar.

“Ia amat sukar, ini kerana beliau (Pahamin) bercakap mengenai tidak ada pemberhentian pekerja jika berjaya mengambil alih MAB, hakikatnya, kakitangan merupakan satu perbelanjaan yang besar juga dan saya tidak pasti bagaimana beliau begitu yakin untuk memberi jaminan seperti itu,” katanya.

Dalam laporan The Star, Pahamin dikatakan telah memberi jaminan bahawa tidak akan ada pembuangan pekerja jika rancangan mereka untuk memulihkan syarikat penerbangan yang tenat itu diterima oleh kerajaan.

“Kami sedang melihat untuk mengambil 49 peratus kepentingan dalam syarikat penerbangan itu dan Khazanah Nasional Bhd. 51 peratus.

“Kami telah memberi jaminan kepada Perdana Menteri bahawa kami tidak akan memecat sesiapa di MAB. Kami juga tidak akan meminta bantuan kewangan daripada Khazanah atau kerajaan. Kami akan (meminta) mempunyai hak untuk menguruskan tanpa gangguan kerajaan.

“Syarikat penerbangan itu akan mempunyai penjenamaan kebangsaan sama dan tidak akan menukar nama. Ia akan kekal sebagai Malaysia Airlines dan ia kekal sebagai syarikat penerbangan antarabangsa,” kata Pahamin.