Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Asia Pasifik Phillip Capital Management Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata selain daripada membiayai operasi Khazanah, hasil daripada penjualan itu juga digunakan untuk membiayai aset strategik yang bermasalah seperti Malaysia Airlines.

“Khazanah melakukan yang terbaik untuk melaksanakan mandatnya iaitu bagi mengembangkan kekayaan jangka panjang Malaysia, melabur dalam projek strategik dan membantu kerajaan meningkatkan ekonomi,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Nazri berkata faktor lain yang boleh mempengaruhi aktiviti pelaburan Khazanah adalah peralihan tumpuan negara daripada ekonomi tradisional, seperti petroleum dan pelancongan kepada ekonomi digital.

Bagaimanapun, katanya, dana tersebut perlu membuat pelaburan baharu bagi mengimbangi aset yang telah dijual itu.

Ahli ekonomi yang kini menjadi usahawan Izzuddin Yusof berkata adalah perkara biasa bagi sesebuah dana untuk menjual pelaburannya apabila objektif pelaburannya telah dicapai.

“Walaupun dana negara, ia tetap mempunyai hadnya justeru mereka perlu terus melabur dan menjual bagi mencari kedudukan yang terbaik,” katanya.

Menurut Izzuddin, sebagai dana strategik negara yang berkait rapat dengan perubahan dalam kerajaan, boleh difahami bahawa kerajaan baharu mempunyai idea berbeza bagi hala tuju ekonomi.

Bagaimanapun, katanya, penjualan aset perlu dilakukan secara beransur-ansur bagi mengelakkan ia menjejaskan ekonomi dan pasaran kewangan.

Menurut laporan-laporan sebelum ini, Khazanah menyatakan bahawa penjualan aset adalah aktiviti perniagaan biasa yang diamalkan oleh dana itu.

Dari 2009 sehingga 2017, dana itu melakukan 80 penjualan yang bernilai RM45.30 bilion dan hasil daripadanya biasanya digunakan bagi pelaburan baharu dan mengurangkan hutang dan tidak disalurkan secara terus kepada kerajaan.

Tidak seperti dana harta, dana pencen/persaraan atau dana pelaburan lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Khazanah tidak menerima sebarang suntikan modal tetap daripada sumber luar bagi pelaburannya.

Sebagai contoh, KWSP menerima dana daripada caruman pekerja secara tetap manakala PNB menerima dana daripada pelabur unit amanahnya.

Khazanah berkata ia mempertimbangkan peluang penjualan bagi asas berasingan berdasarkan sasaran kewangan strategik, dan aset tertentu akan dipertimbang untuk dijual apabila ia telah mencapai objektif dan pulangan sasarannya.

Menurut dana itu, penjualan tersebut juga bergantung kepada masa dan kekuatan pasaran serta kualiti, kredibiliti dan ketersediaan pembeli, sambil menambah prinsip berkenaan terpakai bagi penjualan sebelum ini dan juga yang akan datang. -BERNAMA