Akibatnya, kemalangan mu­ng­­kin terjadi apabila kenderaan dipandu terlalu laju hingga hilang kawalan, kesalahan ejaan dan tatabahasa akan berlaku ketika menaip sesuatu dengan terlalu cepat di telefon pintar ketika berinteraksi dengan seseorang.

Mungkin anda akan melakukan sesuatu di luar undang-undang untuk memiliki wang de­ngan cepat untuk membeli apa yang dihajati. Sebagai seorang usahawan pula, membuat pinjaman dan mencari pelaburan menjadi matlamat penting semata-mata untuk cepat mencapai sasaran dan kaya-raya. Guna duit orang lebih ‘bagus’, daripada wang sendiri walaupun mempunyai risiko tinggi.

Kita sendiri dapat lihat, lebih banyak keburukan daripada kebaikan yang akan berlaku apabila sesuatu perkara itu dibuat terlalu cepat.

Kualiti hasil kerja pasti terjejas. Dan apabila terjejas, sasaran yang sepatutnya dicapai dalam masa 12 bulan apabila ia dibuat dengan terburu-buru untuk men­capai­nya dalam masa 4 bulan, akhirnya ia mungkin hanya akan tercapai dalam masa 24 bulan akibat daripada pembetulan demi pembetulan yang dibuat pada strategi dan pelaksanaannya. Lihat, anda bakal kerugian masa semata-mata kerana ingin terlalu cepat.

Pemasaran juga begitu.

Sebelum ini mereka tidak pernah mendengar langsung tentang jenama anda. Jadi amat tidak masuk akal untuk membuatkan ramai orang datang membeli produk dan perkhidmatan yang anda sediakan hanya dengan 4 atau 5 bulan sahaja. Kalau anda yang datang membeli pun, itu kerana mereka mengenali anda secara peribadi atau harga anda jauh lebih murah daripada pasaran. Orang Malaysia memang tidak boleh dengar kalau harga murah, pasti mereka akan serbu.

Tempoh 12 hingga 18 bulan.

Ini jangka masa yang sesuatu jenama itu perlukan untuk betul-betul melihat hasil daripada pemasaran yang dilakukan. Tidak kira sama ada ia berbentuk digital, tradisional ataupun melalui perhubungan media, mesej jenama anda akan mula bergerak lancar dan melekat pada pemikiran dan hati pengguna dalam masa tidak kurang setahun. Ada yang mengambil masa lebih dari setahun untuk betul-betul memastikan strategi pemasaran mereka kukuh yang bakal mendatangkan pulangan jualan yang besar.

Mengapa begitu lama?

Peringkat merealisasikan teori dan melakukan kesilapan. Teori memang mudah, tetapi untuk merealisasikan teori tidak semudah yang disangkakan. Dalam bulan-bulan pertama, kita pasti akan melihat pelbagai bentuk strategi yang pada peringkat teo­rinya akan berjaya tetapi secara praktikalnya tidak.

Kita juga akan melihat kesilapan demi kesilapan yang berlaku, ada juga yang kita tidak melakukan apa-apa kesilapan tetapi strategi tersebut tidak menampakkan hasil yang dikehendaki dan sebagainya. Di sini strategi asal pemasaran perlu diubah mengikut apa yang telah kita lalui ini.

Peringkat perbetulkan kesilapan. Selepas itu, sedikit demi sedikit kesilapan yang berlaku diperbetulkan. Maklum balas para pengguna, maklum balas daripada pihak dalaman diambil kira dan dalam masa dua bulan ini, kita akan melihat keadaan menjadi lebih terkawal, walaupun masih ada lagi wujud tabiat lama dan kesilapan kecil yang tidak serius dilakukan. Sekali lagi perubahan pada strategi pemasaran perlu dilakukan pada peringkat ini.

Peringkat stabil. Kemudian, semua aspek berada dalam kea­daan stabil. Perubahan demi perubahan pada strategi pemasaran yang dilakukan sebelum ini sudah mula menunjukkan tanda positif.

Peringkat kemajuan dan hasil. Apabila sudah tiadanya kesilapan, stabil dan kita mula ‘nampak’ sedikit momentum dan hampir pasti selepas ini ia akan bergerak pantas ke hadapan. Ketika ini, kita sudah pun berada pada bulan ke 11 dan 12.

Pemasaran tidak semudah yang disangkakan. Ia melibatkan banyak faktor. Daripada kualiti produk, penyediaan pengalaman manis untuk pengguna, penjenamaan, pembuatan kan­dungan, menyebarkan kesedaran tentang jenama sehinggalah kepada proses interaksi dan mengeratkan hubungan, mendapatkan kepercayaan dan sebagainya. Lihat sendiri, bagaimana sukarnya untuk kesemua ini bergerak seiring bagi mencapai objektif syarikat anda - jualan yang besar dan konsisten.

Dan anda masih berfikir ia mampu dicapai dalam masa kurang dari 4 bulan?