Rangkaian restoran nasi kandar terkemuka itu berhasrat menyenaraikan syarikatnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk KK Sihabutheen berkata, pihak­nya berharap dapat mengumpul 30 peratus modal bagi tujuan pengembangan operasi syarikat khususnya untuk pembukaan restoran dan hotel baharu.

Katanya, usaha ke arah penyenaraian itu sedang berjalan dan menjangkakan ia mengambil masa 18 bulan dari sekarang sebelum dapat disenaraikan.

“Kita berharap IPO ini mampu menyokong hasrat untuk membuka sekurang-kurangnya enam buah lagi rangkaian restoran nasi kandar dan beberapa buah hotel butik menjelang hujung 2021.

“Ini kerana kita memerlukan sekurang-kurangnya RM1 juta hingga RM2 juta bagi membuka sebuah restoran nasi kandar serta sehingga RM6 juta bagi membuka sebuah hotel butik bergantung kepada lokasi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Sihabutheen, sepanjang tahun ini pula, pihaknya menyasarkan untuk membuka tiga lagi restoran nasi kandar masing-masing di Johor, Melaka dan Nilai, Negeri Sembilan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya merancang menceburi cabang perniagaan baharu dengan membuka sebuah sekolah swasta dengan model pendidikan United Kingdom (UK) di sini.

Kata beliau, syarikat sudah mengenal pasti tapak tanah bagi pembinaan sekolah swasta itu di Seberang Perai di sini yang dijangka mula beroperasi dua tahun akan datang.

“Kita sedang mengenal pasti dan menjalankan perbincangan lanjut dengan pihak berkaitan dengan sasaran menempatkan seramai 20 hingga 25 pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima,” katanya.

Ketika ini, terdapat lebih 30 rangkaian restoran nasi kandar Pelita di seluruh negara selain di Chennai, India dengan purata pelanggan lebih 25 juta orang setahun.