Pemasangan tempatan itu akan membawa perniagaan Apple di India ke tahap baharu. Foxconn bertanggungjawab untuk memasang model paling mahal seperti variasi peranti iPhone X.

Kerja-kerja pemasangan itu dilakukan di kilang Foxconn yang terletak di bandar Sriperumbudur di selatan Tamil Nadu.

Menurut Menteri Industri Tamil Nadu, M. C. Sampath, Foxconn yang turut memasang telefon keluaran Xiami Corp. akan melabur sebanyak AS$356 juta (RM1.48 bilion) untuk membesarkan kilang­nya termasuk pelaburan untuk pengeluaran iPhone dan dijangka mewujudkan 25,000 peluang pekerjaan.

Sumber lain memberitahu, rancangan Foxconn memasang iPhone di India adalah bagi mengurangkan impak perang dagangan kepada syarikat itu dan Apple.

Bagi Apple, pemasangan global melangkaui China merupakan langkah penting bagi mengurangkan risiko perang dagangan. Berdasarkan laporan media Vietnam, Foxconn sedang mempertimbangkan untuk membuka kilang di negara itu.

Sekiranya menjadi kenya­taan, ia merupakan tindakan berani yang diambil oleh syarikat besar untuk menyelamatkan pengeluaran tambahan menerusi kilang di luar China.

Foxconn mengakui perang dagangan Amerika Syarikat (AS) dan China merupakan cabaran terbesar dan pengurusan kanan sedang berusaha untuk mengurangkan impak negatif.

Pengarah Penyelidik Bersekutu International Data Corporation, Navkendar Singh berkata, dengan meluaskan pengeluaran iPhone di India melalui Foxconn membolehkan Apple dilindungi daripada risiko polisi perdagangan AS yang baharu.

“Lebih banyak telefon yang dikeluarkan secara tempatan membantu Apple menjimatkan kos duti di samping meran­cakkan usaha Perdana Menteri, Narendra Modi untuk menjadikan India sebagai hab pengeluaran,” katanya.

Apple melancarkan iPhone X pada tahun lalu tetapi terpaksa mengurangkan pengeluarannya kerana mula menjual versi baharu di seluruh dunia iaitu iPhone XS dan XR. – REUTERS