Zamani Kasim
Zamani Kasim

Projek pembangunan di atas tanah seluas 4.80 hektar di Bukit Senyum, di sini dibangunkan dalam dua fasa dengan yang pertama bermula sejak 2013 oleh Singapore Exchange-Listed (SGX-Listed) Astaka Holdings Ltd. (Astaka).

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Astaka, Datuk Zamani Kasim berkata, OBS merupakan antara projek mega yang dilaksanakan di Johor dan akan menjadi komponen pen­ting dalam program transformasi bandar raya Johor Bahru menjadi metropolis.

Malah katanya, projek itu juga mampu memacu pembangunan di negeri ini, sekali gus menjadi denyut nadi metropolis moden.

"One Bukit Senyum tidak boleh menjadi projek biasa kerana misi kami mahu menawarkan pembangunan yang ikonik, elegan, mo­den, dilengkapi kemudahan keselamat­an yang terbaik, menerapkan ciri-ciri bandar pintar dan mesra alam.

"Projek yang dilengkapi keperluan moden diperlukan masyarakat itu bukan sahaja memainkan peranan mentransformasikan bandar raya ini tetapi mampu meletakkan Johor Bahru sebagai metropolis utama di wilayah ini," katanya selepas majlis pelancaran Pelan Induk One Bukit Senyum dan Pecah Tanah Menara Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) yang disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengasas dan pemegang saham utama Astaka, Datuk Daing A. Malek Daing A. Rahaman serta Datuk Bandar Johor Bahru, A. Rahim Nin.

Zamani berkata, fasa pertama OBS melibatkan pembangunan dua projek kediaman ikonik tertinggi di Asia Tenggara, The [email protected], masing-masing dengan ketinggian 65 dan 70 tingkat yang merangkumi sebanyak 438 unit kediaman.

Fasa kedua pula melibatkan pembinaan projek Menara MBJB, hotel bertaraf lima bintang dengan 450 bilik, pusat beli-belah, menara pejabat gred A dan pangsapuri servis yang bakal siap sepenuhnya menje­lang tahun 2021, katanya.

"Pada masa ini, projek fasa pertama sudah pun terjual sebanyak 71 peratus dengan pembeli dari pelbagai negara, antaranya Singapura, Brunei, Jepun selain Malaysia," katanya sambil memberitahu pembinaan Menara A dan B kini sudah mencapai tingkat 37 dan 36.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Astaka bakal membangunkan satu projek pemba­ngunan bersepadu di Pengerang di atas tanah seluas 146 hektar dalam usaha menyokong projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

Menurutnya, projek yang merangkumi pembinaan kediaman termasuk rumah mampu milik dan rumah kedai itu dibangunkan dengan kerjasama Syaling Syabas Sdn. Bhd., yang masing-masing memegang 51 peratus (Astaka) dan 49 peratus.