Pengarah JPJ negeri, Ismasuhaimi Sharif berkata, nombor pendaftaran KET 9 mencatatkan harga bidaan tertinggi iaitu RM50,000 merangkumi enam pembida yang ingin mendapatkan nombor itu.

Menurutnya, nombor kedua tertinggi yang dibida pula adalah KET 3 berharga RM49,888, diikuti KET 8 (RM42,000), KET 7 dan KET 5 (RM40,000) serta KET 2 (RM37,000).

“Jumlah keseluruhan pembida yang menempah nombor pendaftaran kenderaan secara elektronik atau e-Bidding bagi siri KET adalah seramai 703 orang dengan nombor yang berjaya dibida iaitu sebanyak 341.

“Kita mendapat maklum balas positif daripada pengguna mengenai sistem e-Bidding yang menyaksikan Kedah negeri pertama di luar Lembah Klang menawarkan sistem atas talian itu kepada orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sistem itu sebelum ini sudah dimulakan di Putrajaya dan Kuala Lumpur sebelum akan diteruskan pula di Pulau Pinang, Sabah dan Johor tidak lama lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Ismasuhaimi berkata, pihaknya berjaya menahan sebanyak 109 kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi atau fancy dalam operasi yang dijalankan baru-baru ini.

“Operasi bermula awal bulan ini hingga 14 Julai itu turut merekodkan 155 kenderaan mempamerkan nombor pendaftaran masing-masing tidak mengikut ukuran sepatutnya dan lapan individu sudah dihadapkan ke mahkamah.

“Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 14, Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukan hukuman denda yang tidak kurang daripada RM300,” ujarnya.

Tambah beliau, operasi tersebut akan diteruskan bagi membanteras kegiatan mempamerkan nombor menarik yang juga sukar untuk dikesan sekiranya terlibat dalam satu-satu kejadian jenayah.

“Bagaimanapun, berdasarkan siasatan kita, majoriti pemilik kenderaan yang gemar mengubah suai nombor pendaftaran ini sukakan perhatian dan mereka akan berasa bangga sekiranya dilihat orang lain ketika di atas jalan raya,” katanya. -UTUSAN ONLINE