Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kum­pulan Naza TTDI, SM Faliq SM Nasimuddin berkata, kemu­dahan pada keluasan 2.02 hektar di KL Metropolis itu melibatkan kerjasama antara Naza TTDI dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sebagai sebahagian daripada projek KL Lebih Hijau.

“Naza TTDI telah memutuskan untuk menjadikan taman ini sebagai program anak angkat yang akan diselenggara selama 15 tahun. Sementara tempoh pembinaannya pula dijangka siap pada suku pertama 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah Taman Metropolis di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza World Group Of Companies, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin.

Beliau berkata, taman ber­kenaan bakal dilengkapi pelbagai kemudahan seperti amfiteater, taman arca, stesen kecergasan kinetik, laluan jo­ging, taman permainan dan taman air, kawasan perkelahan, taman berteres serta laman acara, sekali gus memenuhi ke­perluan kesihatan awam, alam sekitar dan masyarakat.

“Taman ini adalah komponen pertama MITEC dan menjadi sebahagian daripada projek mega KL Metropolis yang dilancarkan pada 2011. Lebih istimewa, kawasan rimbunan ini turut mempunyai pusat maklumat dan dewan komuniti serta laman berbumbung berkeluasan 27,000 kaki persegi,” katanya.

Jelasnya lagi, syarikat ber­kenaan turut menanam kira-kira 500 pokok dan 10 spesies tumbuhan berbunga dalam usa­ha memastikan lagi kehijauan taman tersebut.

KL Metropolis dibahagikan kepada lapan presint iaitu Met 1, Met 2, Met 3, Met 5, Met 6, Met 7, Met 8 dan Met 9.

Sementara itu, mengulas perkembangan Met 1 yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1 bilion dan dilancarkan pada awal tahun ini, SM Faliq berkata, sambutan unit kediaman tersebut adalah menggalakkan.

“Kami menjangkakan sehingga 90 peratus daripada 616 unit dibeli menjelang hujung tahun,” katanya.