Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Amirsham A. Aziz berkata, keputusan itu dibuat lembaga pengarah selari dengan pelaksanaan pelan penggantian kepemimpinan yang mantap, untuk memastikan Bursa Malaysia berada pada posisi terbaik untuk menyampaikan nilai kepada semua pihak berkepentingan.

Katanya, Suruhanjaya Sekuriti (SC) juga telah memberikan persetujuannya bagi pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif baharu itu selaras dengan Seksyen 10 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

“Saya yakin Muhamad Umar akan terus memberikan kepemimpinan yang hebat kepada Bursa Malaysia dan membina inisiatif transformasi yang diterajui oleh Tajuddin yang juga telah memainkan peranan penting dalam menjadikan Bursa Malaysia sebagai rakan yang dipercayai dan tempat penciptaan nilai bagi jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE