Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Izham Ismail berkata, pihaknya berbanggga menerima anugerah berkenaan dan mendedikasikannya kepada kakita­ngan Malaysia Airlines yang telah memberi fokus kepada penyam­paian pengalaman perjalanan bertaraf dunia kepada penumpang syarikat penerba­ngan berkenaan.

“Anugerah ini mengiktiraf beberapa perkembangan positif yang telah kami lancarkan sejak dua tahun lalu termasuk pesawat baharu, produk dan inovasi digital.

“Ini adalah bukti komitmen kami untuk menawarkan penumpang pengalaman hebat di udara dan di lapangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Anugerah PATWA mengiktiraf individu dan organisasi yang cemerlang dalam mempromosikan pelancongan termasuk dalam penerbangan, hotel, agensi pelancongan, pengusaha pelancongan, destinasi, badan-badan kerajaan dan kementerian-kementerian pelancongan.

Juri rahsia yang terdiri daripada ahli PATWA, pegawai dan pengembara misteri menilai nama tersenarai yang meme­nuhi kriteria diperlukan.

Anugerah itu kini memasuki tahun ke-18 penganjurannya dan mendapat reputasi sebagai satu daripada penghargaan pa­ling diingini dan dicari dalam industri pelancongan.

Dalam pada itu Izham berkata, sebagai tanda terima kasih kepada pelanggan setia Malaysia Airlines, syarikat penerbangan negara itu menawarkan potongan harga 25 peratus ke atas tambang ke destinasi terpilih termasuk Hong Kong dan Sydney.

“Tawaran ini sah sehingga tengah malam 12 Mac 2019 bagi perjalanan bermula sekarang hingga 31 Mei 2019.

“Tetamu boleh menempah tiket penerbangan mereka di ejen pelancongan Malaysia Airlines yang mengambil bahagian atau melayari laman web www.malaysiaairlines.com,” katanya.