Khazanah melantik Prof. Xiao’ou Tang yang merupakan Pengasas SenseTime dan Profesor di Chinese University of Hong Kong sementara Lau Seng Yee merupakan Naib Presiden Eksekutif dan Pengerusi Pemasaran Kumpulan dan Penjenamaan Global Tencent Holding Company Limited (Tencent). Pelantikan tersebut berkuatkuasa 26 Jun lepas.

SenseTime adalah syarikat AI yang terkemuka yang memfokuskan kepada visi komputer dan pembelajaran mendalam yang mana Tang dianggap sebagai salah seorang saintis AI pa­ling berpengaruh.

Tencent kini berada di kedudukan lima syarikat tersenarai teratas dalam teknologi global dengan modal pasaran melebihi AS$430 bilion (RM1.77 trilion)

AI memberikan nilai yang sangat besar kepada syarikat yang mementingkan kecemerlangan operasi daripada pengurusan sumber manusia sehingga kepada prestasi dan pengambilan pekerja. Potensi yang dapat dijana AI merentasi pelbagai sektor ekonomi diunjurkan bernilai trilion ringgit.

China telah dan sedang membina empayar AI tersendiri dan usaha negara itu kini menjadi rujukan oleh negara-negara lain termasuk barat untuk ekosistem teknologi masa depan. Kemampuan teknologi dan ekosistem yang dimiliki oleh negara tembok besar itu juga telah mencetuskan kebimbangan terutama kepada Amerika Syarikat (AS).

Khazanah sebagai syarikat pelaburan kerajaan telah lama melihat teknologi sebagai antara platform terbaiknya untuk me­labur secara aktif.

Pada 2017, Khazanah telah melabur AS$1 bilion (RM4.14 bi­lion) dalam 25 syarikat teknologi global selepas melihat potensi besar daripada pelaburan dalam gergasi perdagangan dalam talian China, Alibaba.

Awal tahun ini, Khazanah dilaporkan meraih keuntungan apabila saham firma pelaburannya, Phunware Inc. yang berpangkalan di Texas, AS meningkat 2,000 peratus susulan penggabungannya dengan firma Stellar Acquisition dari Greece.