Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Izham Ismail berkata, pengukuhan itu mungkin meliputi peluasan perkongsian kod penerbangan merentasi laluan Singapura-Malaysia, serta penambahbaikan kekerapan penerbangan.

Katanya, potensi kerjasama lain mungkin meliputi perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), tertakluk kepada kelulusan kawal selia yang diperlukan.

“Perjanjian rasmi yang dijangka dimuktamadkan dalam beberapa bulan akan datang, turut meliputi anak syarikat SIA, SilkAir dan Scoot, serta Firefly, syarikat penerbangan sekutu MAB.

“Melalui perkongsian ini, kami berharap dapat menambah nilai kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif SIA, Goh Choon Phong berkata, SIA dan MAB beroperasi di rantau yang pesat berkembang dalam pasaran perjalanan udara, sekali gus menawarkan peluang luas untuk kedua-dua syarikat penerbangan itu.

“Kedua-dua syarikat penerbangan mempunyai operasi luas di ASEAN selain rangkaian luas yang meliputi banyak destinasi di seluruh dunia,” katanya. -UTUSAN ONLINE