Ia juga akan menyaksikan pemindahan proses peringkat pertama -- perekahan dan larut-lesap -- dari Malaysia ke Australia Barat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Apabila kilang perekahan dan larut lesap baharu itu beroperasi, bahan dihantar ke Malaysia untuk pemprosesan tidak akan termasuk bahan radioaktif semula jadi.

“Perjanjian itu membolehkan kami membiayai pelaburan seterusnya dalam pemprosesan hiliran di Lynas Malaysia dan menempatkan semula proses peringkat pertama kami di Australia.

“Jepun merupakan rakan yang amat penting kepada Lynas. Sejak 2011, kami menjalinkan hubungan kukuh dengan pelanggan Jepun dan produk yang kami hasilkan di Malaysia telah menyokong perkembangan industri pemprosesan nadir bumi Jepun,” kata Pengarah Urusan dan Naib Presiden Lynas Malaysia, Datuk Mashal Ahmad dalam kenyataan.

JARE merupakan syarikat tujuan khas yang ditubuhkan oleh Japan Oil, Gas and Metals National Corporation (JOGMEC) dan Sojitz Corporation, sebuah firma perdagangan terkemuka Jepun serta rakan kongsi pengedaran eksklusif Lynas di negara maju itu.

JOGMEC pula adalah firma milik kerajaan Jepun.

Mashal berkata mengikut perjanjian itu, Lynas Malaysia akan terus bekerjasama untuk membangunkan rantaian bekalan kukuh bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

“Nadir bumi juga menjadi keperluan bagi industri elektronik dan industri automotif yang semakin berkembang di Malaysia.

“Sebagai pengeluar produk nadir bumi kedua terbesar di dunia, Lynas boleh mendorong untuk menarik pelaburan seterusnya dalam rantaian bekalan hiliran di Malaysia, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab pembuatan produk daripada nadir bumi,” katanya. -BERNAMA